Pengalaman menjadi Guru
Setiap dari kita pasti bertemu seorang insan bernama 'Cikgu'. Insan yang memainkan peranan penting dalam mendidik kita selain dari ibubapa di rumah.
Dari dahulu lagi, orang sering ibaratkan menjadi guru ini seperti menjadi sebatang lilin yang membakar diri demi menerangi jiwa dan hati anak bangsa.
Aku ingin berkongsi sedikit pengalaman menjadi seorang cikgu. Pengalaman yang tidak pernah terjangka di minda aku. Pernah memohon menjadi guru lepasan DPLI atau KPLI tapi semua permohonan aku gagal termasuk temuduga yang turut keputusannya mendukacitakan aku.
Kisah aku menjadi guru bermula apabila tamat kontrak sebagai tele-marketing sebuah Kolej Swasta di Kota Bharu.Ketika itu, aku menghantar resume ke semua organisasi yang difikirkan sesuai termasuk sekolah swasta.
Dijadikan cerita, pada suatu hari aku menerima panggilan temuduga dari salah satu Sekolah Swasta di Kota Bharu. Sekolah tersebut dikatakan merupakan sekolah yang terkenal sejak dari dahulu lagi.
Sekolah tersebut baru sahaja beroperasi di tempat baru, di bawah pengurusan baru, wakil pihak pengurusan hanya bertanya serba ringkas berkenaan dengan latar belakang pendidikan aku, seterusnya boleh terus memulakan tugas sebagai guru.
Subjek Matematik Moden merupakan subjek yang menjadi tanggungjawab aku. Jumlah pelajar ketika itu, kalau tidak salah dalam 15-20 orang. Kesemuanya pelajar aku merupakan pelajar mengulang kembali peperiksaan SPM.
Pada awal sesi pembelajaran, aku menggunakan buku rujukan milik sendiri ketika mengambil peperiksaan SPM pada tahun 2000. Semua pelajar di dalam kelas terpinga-pinga melihat sukatan pengajian yang aku bawa.
9 tahun, tempoh aku meninggalkan sesi persekolahan, rupanya sukatan mata pelajaran sangat berbeza. Bagi aku, ia lebih kompleks kerana satu topik di waktu aku, menjadi 3-4 topik bagi para pelajar kelas aku.
Dalam seminggu aku hanya mengajar 3 hari sahaja, setiap sesi hanya 1 jam. Jarak rumah aku ke Kota Bharu memakan masa 1 jam. Secara keseluruhan aku menghabiskan masa sebanyak 3 jam mengajar 6 jam di atas jalan raya bagi tempoh seminggu.
Gaji yang aku terima pula, nilainya dibawah RM500 sebulan. Walaupun sangat sedikit, sejujurnya ia sangat tidak berbaloi dengan masa yang dihabiskan namun hati aku berbisik ini semua atas nama ingin menjaga ibu di kampung, maka sedaya upaya cuba mengikhlaskan diri dalam melakukannya.
Apabila para pelajar memanggil aku dengan gelaran Cikgu. Rasanya sangat berbeza, aku mengerti kini tanggungjawab besar menanti walaupun anak murid hanya 15 orang. Perangai masing-masing sangat berbeza dan masih memerlukan kesabaran.
Tambahan pula, matematik merupakan mata pelajaran yang sangat tidak digemari oleh mana-mana pelajar termasuk aku sendiri satu ketika dahulu. Nasib baik result SPM agak baik.
Beberapa minggu kemudian, pihak pengurusan ingin membuka kelas pelajar-pelajar Tingkatan 6, aku ditawarkan untuk mengajar mata pelajaran Pengajian AM. Keadaan ini kerana pihak sekolah belum ketemu calon guru yang sesuai ketika itu.
Aku cuba mengajar dalam tempoh seminggu. Para pelajar aku kali ini terdiri dari kaum Cina. Tapi aku tidak mampu bertahan lama kerana Pengajian Am bukan subjek expert aku. Para pelajar begitu semangat ingin mengulangkaji pelajaran tetapi aku tidak mampu memenuhi impian mereka. Kelas ditutup selepas beberapa minggu.
Aku kemudian ditawarkan menjadi cikgu di Pusat Tuisyen berdekatan dengan rumah. Pada awalnya aku mengajar pelajar tingkatan 3 sahaja bagi subjek matematik, nasib baik tidak termasuk subjek sains, masak aku jawabnya.
Seterusnya tingkatan 4, kemudian dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5. Subjek semestinya Matematik. Belajar Universiti dalam bidang kewartawan, balik kampung mengajar matematik. Jauh bezanya, namun itu rezeki yang ada didepan mata maka terima sahaja.
Bagi mereka yang mengenali aku, pasti mengetahui bahawa aku jenis tidak berkira. Oleh kerana itu, dari subjek Matematik, aku diminta mengajar subjek Bahasa Melayu bagi darjah 1 sampai 6.
Subjek Bahasa Melayu pada awalnya hanya menjadi guru ganti, tetapi semakin kerap mengganti. Hal ini kerana pihak pengurusan mengalami masalah kewangan untuk membayar guru yang benar-benar pakar untuk mengajar di pusat tersebut.
Berbalik pada Sekolah Swasta, pihak pengurusan tidak mampu lagi bertahan apabila kos utiliti dan pengurusan semakin meningkat sedangkan pelajar semakin berkurang. Hampir setahun aku mengajar, akhirnya sekolah terpaksa ditutup.
Manakala para pelajar aku, mengambil inisiatif untuk datang ke rumah aku demi menuntut ilmu yang masih berbaki kerana SPM semakin hampir.
Aku kini hanya fokus mengajar di Pusat Tuisyen, Jumaat & Sabtu adalah hari aku bekerja, manakala 5 hari cuti. Moment paling menyedihkan apabila aku dibuli oleh pelajar darjah 1. Hi nasib badan, sentiasa menjadi mangsa buli. Apabila aku buli balik, tahu pun menangis.
Kalau tidak salah aku, hampir 2 tahun aku menjadi guru di Pusat Tusiyen sehinggakan pihak pengurusan mengalami masalah yang sama iaitu kewangan.
Akhirnya, ditutup. Aku kembali menganggur. Pengalaman mengajar tetap menjadi kenangan istimewa di hati, pelbagai rencah aku rasai. Masam & manis silih berganti. Mungkin telah ramai lupa bahawa aku pernah menjadi Cikgu mereka.
Ada satu ketika, pihak pengurusan tuisyen yang baru, menawarkan aku kembali mengajar, namun aku terpaksa tolak dengan baik kerana merasakan pengalaman yang ditimba selaku guru sudah memadai.
Comments
Post a Comment