Iftar Endemik

 Ramadhan telah memasuki hari ke-19/20, in sha Allah tinggal 10 hari lagi untuk umat Islam menjalani ibadah berpuasa dan aktiviti ibadah lain yang biasa dilakukan sepanjang bulan Ramadhan. Selain itu, sepanjang bulan Ramadhan, kebanyakan Umat Islam di Malaysia suka untuk berbuka puasa di kawasan terbuka atau di premis-premis perniagaan yang menawarkan pelbagai pakej berbuka untuk pelanggan.

Aku faham aktiviti berbuka puasa ini telah lama dilakukan sebelum pandemik melanda dunia. Cuma adakah itu bermakna kita harus melupakan pengalaman yang kita lalui sepanjang 2 tahun yang lalu?. Di Kelantan, lokasi yang menjadi tumpuan orang-ramai untuk berbuka puasa bersama keluarga ialah Lembah Sireh berdekatan dengan pasaraya lotus. Selain itu, premis-premis yang menawarkan pakej berbuka puasa seperti restoran atau hotel tetap menerima tempahan berbuka puasa seperti sebelum pandemik.

Walaupun status kesihatan negara ketika ini berstatus endemik, itu bukan bermakna kita boleh beranggapan tiada lagi risiko yang mampu mengancam nyawa seperti sebelumnya. Jangan lupa virus mampu melalui fasa mutasi, akhirnya mewujudkan variant baru virus terbabit. Sejujurnya aku bimbang jika kita semua terlampau leka, tidak mustahil kita bakal hilang peluang untuk berpuasa dan beraya seperti sekarang sekali lagi.

Jika setiap apa yang dilakukan, SOP tetap dijaga, in sha Allah risiko berlaku penularan menurun. Terutama di kawasan tumpuan orang-ramai berbuka puasa. Aku bukan ingin bersifat negatif atau berfikiran sempit. Sekadar meluahkan apa yang aku rasa setelah melihat perkembangan semasa. In sha Allah, minggu depan mereka yang bekerja di bandar-bandar utama akan mula balik ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

KKM seperti memberi gambaran kemungkinan berlaku peningkatan kes jangkitan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Aku berharap tahap kesihatan mereka yang dijangkiti tidak seteruk sebelum suntikan vaksin diperkenalkan oleh KKM.

Pada sudut berbeza, apabila orang-ramai yang berbuka puasa di kawasan terbuka atau di premis yang menawarkan pelbagai pakej berbuka puasa. Ada sesuatu seperti kurang jika aku melihatnya iaitu Solat. Apabila kita telah berbuka puasa di kawasan terbuka atau di premis, solat seolah-olah bukan menjadi tumpuan tetapi sampingan.

Aku pernah berbuka puasa di kawasan terbuka dan di premis yang menawarkan pakej berbuka. Solat Magrib dilakukan hanya setakat syarat, selepas solat kembali menjamu selera kerana harga yang dibayar bukan seringgit dua, pasti hati ingin makan sepuasnya.

Iftar endemik sekadar penulisan berdasarkan pandangan peribadi aku, pasti masih ramai kelompok cerdik-pandai yang mempunyai pandangan yang lebih baik dari apa yang aku kongsikan. Sejujurnya aku tidak mahu kita kembali hidup dalam situasi dikenakan PKP atau sewaktu dengannya.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

Mengapa Pegawai Penerangan?