Ramadhan ke-5
Orang kata semakin kita menghampiri kiamat, semakin kita merasakan begitu cepat masa berpusing. Rasanya seperti baru kelmarin kita memasuki bulan Ramadhan, rupanya Ramadhan kini telah memasuki hari ke-5.
Aku melihat suasana di baazar ramadhan yang sesak pada Ramadhan pertama dan kedua, kini semakin lenggang. Itu bermakna warga perantau yang pulang untuk menyambut Ramadhan pertama bersama keluarga telah kembali merantau.
Pelbagai jenis lauk yang sebelum ini, habis licin dijual mula berbaki terutama bila waktu menunjukan pukul 5 petang. Malah ada peniaga yang mula menutup gerai jualan mereka, mungkin hasil jualan yang sedikit, sehingga tidak mampu menampung modal berniaga. Aku faham kos barang keperluan semakin meningkat, menyebabkan harga makanan yang siap masak turut meningkat harganya.
Sewa tapak baazar ramadhan pula agak mahal pada pendapat aku, ratusan ringgit. Hasil jualan semakin sedikit, kos terus meningkat maka pilihan yang ada tutup tapak. Bila ada tapak kosong, peniaga haram pula cuba ambil alih. Kebanyakan mereka menjual mercun yang sememangnya diharamkan oleh pihak kerajaan tetapi aku tengok tiada penguatkuasaan oleh pihak PBT tempatan.
Risiko lauk dipanaskan kembali turut wujud, ia bermaksud lauk yang dijual pada hari ini, jika masih banyak berbaki, agak sayang untuk dibuang atau disedekahkan semuanya. Dengan kos yang meningkat maka besar kemungkinan lauk tersebut akan dipanaskan kembali untuk dijual pada keesokan harinya.
Baazar ramadhan bakal kembali meriah ketika seminggu sebelum Syawal tiba, waktu itu warga perantau telah pulang untuk beraya setelah 2 tahun beraya di perantauan. Bila tiba waktu itu, lauk pasti habis sebelum pukul 5 petang jika peniaga agak popular dikalangan pembeli.
Aku pula bila bersahur dan berbuka bersama ma, hanya makan apa yang ada sahaja. Janji kami bersahur kerana ia sunnah Rasulullah SAW.
Comments
Post a Comment