Aku Bentara Parlimen Belia
Menjadi Bentara bagi Persidangan Parlimen Belia mungkin menjadi salah satu kenangan manis aku ketika bertugas di KBS. Aku dilantik sebanyak 2 kali sebagai Bentara terutama di bulan-bulan terakhir aku berkhidmat di KBS, ketika itu di bawah YB Menteri KJ.
Ketika aku di Sekretariat Parlimen Belia, bertempat aras 11, menara KBS, Putrajaya. Aku tolong pegawai yang bertanggungjawab di Unit promosi, kemudian logistik dan akhir sekali unit bentara yang bertugas sepanjang persidangan.
Pihak Sekretariat menetapkan pemakaian rasmi bentara sepanjang persidangan adalah baju melayu berwarna hitam, siap bersongkok dan bersamping. Masalah timbul apabila aku tiada baju melayu sepanjang berwarna hitam seperti pihak sekretariat tetapkan.
Seminggu sebelum persidangan, aku berusaha mencarinya, dari bangi hingga ke jalan masjid india. Alhamdulillah, setelah beberapa hari mencari, aku jumpa baju melayu sepasang berwarna hitam yang kena dengan saiz tubuh aku di Wisma YAKIN.
Hari persidangan akhirnya tiba, persidangan berlangsung di Dewan Rakyat sementara disebabkan Dewan Rakyat Utama dalam proses Renovation.
Para bentara dewan parlimen belia dibantu oleh para bentara dewan rakyat. Aku pada awalnya tiada sebarang pengetahuan berkenaan tugas sebenar bentara di dewan rakyat. Rupanya sepanjang persidangan berlangsung, hanya bentara dibenarkan untuk berjalan dalam dewan rakyat, tugasnya berdasarkan pemahaman aku adalah pemudah cara tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat dan ahli Parlimen itu sendiri.
Sebab itu, aku terkejut bila Datuk KP kena tegur dengan Bentara Dewan Rakyat kerana berkeliaran di kawasan persidangan. Hanya kami yang sahaja yang boleh bergerak.
Aku juga baru mengetahui bahawa di hujung meja speaker, ada punat loceng yang harus ditekan bagi memanggil ahli parlimen masuk ke dewan rakyat untuk meneruskan persidangan. Sahabat aku ikhwan diberi tanggungjawab sebagai penekan buzzer bila diarahkan oleh tuan speaker.
Kenangan tinggal kenangan, orang tidak akan ingat lagi siapakah Bentara pertama Dewan Parlimen Belia Malaysia kerana ia sejarah yang tiada catatan. Walaupun aku bangga menjadi bentara tapi ia hanya kebanggaan untuk aku sahaja kerana orang lain tidak ambil peduli.
Comments
Post a Comment