Solat Jumaat di Universiti
Solat itu secara umum adalah satu ibadah buat umat Islam. Solat boleh dibahagikan kepada dua iaitu wajib dan sunat. Bagi kaum lelaki yang beragama Islam, diwajibkan ke atas mereka untuk menunaikan solat Jumaat.
Apabila bercerita soal solat Jumaat, Masjid yang sering menjadi tumpuan para pelajar menunaikan solat ialah Masjid Ar-Rahman berhadapan pintu utama Universiti Malaya atau Masjid di Akademik Pengajian Islam.
Kapasiti Masjid Ar-Rahman lebih luas berbanding Masjid Akademik Pengajian Islam.
Kebiasaan aku menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan oleh pihak Universiti untuk menunaikan solat Jumaat. Bas yang disediakan akan dinaiki oleh siswa kolej 3,4 dan 7 kerana kolej kami bersebelahan.
Aku dan rakan-rakan yang menggunakan bas, harus makan tengahari lebih awal di dewan makan, jika terlewat maka terlewatlah kami untuk menaiki bas ke Masjid.
Bas yang biasa kami naik merupakan bas lama, mungkin ketika bas di zaman peringat atuk kami bergelar pelajar universiti.
Bagi memastikan tidak tertinggal bas, ada dikalangan kami akan mengambil makanan awal untuk disimpan dan di makan selepas selesai solat Jumaat.
Kelebihan tinggal di Kolej Kediaman yang menyediakan makanan ialah para pelajar tidak perlu risau soal makan kerana sentiasa disediakan.
Jika diingatkan kembali, kerap kali terjadi situasi aku tertinggal bas untuk solat jumaat, kadangkala bernasib baik dapat menumpang sahabat-sahabat yang solat di masjid APIUM.
Pada satu ketika, bas yang dinanti tidak kelihatan sampai ke sudah, akhirnya kami tekad untuk berjalan kaki ke masjid di pintu utama.
Pada awalnya kami berjalan dengan penuh gembira, segalanya berubah apabila waktu pulang. Peluh usah di cakap, kami semua dalam kebasahan apabila sampai di kolej kediaman.
Bohong jika aku katakan tidak pernah ponteng solat jumaat, malah ada dikalangan kami mengamalkan sifir 2+1 iaitu dua kali poteng, satu kali pergi solat.
Ada satu ketika, aku terlewat sampai di masjid, ketika itu kami solat di masjid APIUM, terpaksa solat luar disebabkan dalam masjid telah penuh.
Tanpa sejadah sebagai pelapik, aku solat di atas simen atau batu, kebetulan cuaca dalam kepanasan. Bagaikan cacing kepanasan aku menahan bahang kepanasan di dahi.
Di Masjid Ar-Rahman, sesudah selesai solat Jumaat, jemaah pasti bertakbir sebelum bersurai, suasana tersebut mendirikan bulu roma aku apabila hampir semua jemaah melaungkan Allahuakbar serentak.
Begitulah sedikit cebisan ingatan aku tentang kisah solat jumaat pada waktu bergelar mahasiswa atau pelajar. Kenangan yang sangat berharga walaupun telah lama meninggalkan universiti.
Comments
Post a Comment