Tidak Boleh Balik Kampung


Kita semua mengetahui bahawa Malaysia masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Setiap hari pihak KKM atau MKN melaporkan maklumat terkini berkenaan Pandemik COVid19. 

Ketika ini jumlah pesakit yang positif masih berada dalam nilai 2 digit. Satu perkara yang tidak membanggakan kerana ia mampu terus meningkat setiap hari.

Di antara isu yang sedang hangat diperkatakan melalui pelbagai media ialah isu kebenaran rentas negeri bagi rakyat Malaysia, hal ini kerana rentas negeri adalah dilarang oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh PKPB kecuali mempunyai alasan yang kukuh ketika membuat permohonan.

Ketika 1 Syawal semakin hampir, semakin ramai rakyat Malaysia cuba mendapatkan kebenaran untuk merentas negeri, harus diingatkan bahawa larangan ini dikuatkuasa demi mengelakkan berlaku penularan wabak pandemik COVid19 dari kawasan berstatus merah ke kawasan berstatus hijau.

Negeri Kelantan yang sebelum ini berstatus hijau selama sebulan kerana tiada rekod rakyat tempatan yang positif, kini telah bertukar kepada status kuning apabila mempunyai satu kes pesakit yang positif COVid19 yang merupakan kes rentas negeri.

Aku melihat kesan dari kewujudan kes baru yang positif, pihak berkuasa terutama PDRM mula memperketatkan kemasukan rentas negeri yang pastinya meningkat menjelang 1 Syawal. 

Cuma aku tertanya-tanya bagaimana sekatan bagi laluan tikus?. Bentuk bumi di Kelantan ini sahaja, banyak laluan tikus yang pasti digunakan oleh kelompok tertentu bagi melakukan aktiviti rentas.

Bahkan laporan berita perdana memperlihatkan rakyat Malaysia mencuba nasib melalui pelbagai cara demi melepasi sekatan jalan raya sehingga sanggup mengeluarkan surat palsu demi mengaburi pihak berkuasa.

Sekira berlaku ketembusan rentas negeri berskala besar, aku amat percaya pasti terjadi peningkatan jumlah pesakit yang positif COVid19. Hal berdasarkan keadaan semasa yang mana merujuk keadaan penduduk tempatan yang semakin tidak mengamalkan SOP pencegahan.

Secara peribadi aku amat percaya bahawa kita dalam landasan yang tepat untuk berjaya menghentikan penularan pandemik COVid19, namun ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk rakyat Malaysia. 

Pada aku, jangan lihat semata-mata pada cara mengatasinya tetapi turut melihat kepada siapa bakal melaksanakannya kerana jika ada yang tidak memberi kerjasama, pasti keadaan bertambah buruk bukan sebaliknya.

Seandainya rakyat Malaysia terleka walaupun hanya sekejap sahaja, aku takut kesannya tidak mampu tertanggung, sedangkan China yang sebelum ini dilaporkan 'zero cases', kini kembali mencatatkan jumlah pesakit yang positif, bagaimana pula keadaan kita agaknya?.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

Mengapa Pegawai Penerangan?