DOA TERMAKBUL
Sejak PKP di laksanakan di seluruh Malaysia, aku agak jarang untuk keluar rumah, sekiranya tiada keperluan yang mendesak. Tambahan pula kawasan Ketereh turut menjadi kawasan yang terkait dengan penularan dalam komuniti. Setiap hari, ada sahaja kes penularan yang dilaporkan berlaku namun reaksi masyarakat setempat, aku lihat bagaikan tiada apa-apa yang perlu di awasi.
Kelmarin, ada kisah yang aku dengari dari mulut ahli keluarga yang berada di lokasi kejadian. Lokasi yang menjadi tumpuan para warga tidak bertanggungjawab telah menerima tetamu yang tidak diundang iaitu pihak Polis yang menjalankan tugas atas nama tanggungjawab pada negara.
Situasi digambarkan penuh saspen apabila semua individu yang leka bermain apa yang ditaksubkan selama ini, tiba-tiba melarikan diri dengan penuh ketakutan, warga emas yang telah mempunyai cucu di rumah tiba-tiba melarikan diri kerana kehadiran pihak berkuasa, sangat memalukan pada keluarga.
Nasib baik, pihak berkuasa di mengejar, jika tidak aku percaya berkemungkinan ada yang menjadi arwah kerana masing-masing yang terlibat merupakan warga emas yang tahap kesihatan sangat tidak memuaskan. Pak cik aku sendiri nyaris menjadi pihak yang tertangkap kerana menjadi pemilik premis yang menjadi tumpuan warga emas yang lupa tuhan tersebut.
Sampaikan mak cik-mak cik aku sendiri yang berada di rumah terkejut dalam ketakutan, bimbang terkait sama padahal puas menegur yang bertanggungjawab mengajak teman berkumpul tanpa restu pihak berkuasa.
Aku percaya selagi pihak berkuasa tidak mengenakan kompaun seribu ringgit seorang yang terbabit, mereka pasti berkumpul kembali walaupun PKP masih dikuatkuasa lagi, maklumlah sekian lama mereka mendakwa, mereka mempunyai kuasa, mereka penentu segalanya ketika bersembang di warung sebelum PKP berlangsung.
Masyarakat sini, masyarakat viral, andai ada yang tertangkap dan di kompaun, pasti tersebar cerita dari mulut ke mulut. Paling mendukacitakan jika isi beritanya berkisar lokasi premis terbabit yang berada di tanah ahli keluarga aku sendiri.
Aku cuba bayangkan andai arwah atuk masih hidup, nescaya tidak berani seorang pun menjejak kaki ke premis pak cik aku tersebut. Itulah realiti komuniti luar pandangan mata, degil lagi besar kepala. Seorang pemuda yang aku temui di premis halal, berkongsi rasa megah jika berani pihak berkuasa sila datang ke kampungnya, pasti tidak ditemui jalan keluarnya. Wah bercakap bagaikan tiada akal dan jiwa sehingga sanggup berbicara seperti itu, bila betul-betul datang bagaimana agaknya wajah di muka rasa di jiwa?.
Apabila pihak PDRM Kelantan ingin melakukan pemantauan besaran di kawasan kampung seluruh Kelantan. Ia sangat menggembirakan hati, pandangan jujur aku ialah ia sesuatu yang elok dan tepat pada waktunya jika tidak satu demi satu kluster baru akan muncul kerana sikap komuniti itu sendiri.
Ketika ini, jumlah kes positif pandemik di Kelantan semakin menurun, semoga terus menurun, solat Jumaat pula kembali ke peringkat pakai kupon, bukan lagi sekadar AJK Masjid semata-mata yang rukut. Alhamdulillah. Semoga pandemik segera berakhir.
Comments
Post a Comment