SIKAP & SOP
Apabila bertiup khabar angin bahawa kerajaan bakal melaksanakan PKP 3.0 dengan peraturan lebih ketat, semua mula menyuarakan rasa kebimbangan terhadap kesan yang bakal dihadapi jika benar-benar dilaksanakan ketika tempoh PKP 2.0 semakin hampir ke penghujungnya.
Pada aku, isu utama bukan pada pelaksanaan PKP tetapi isu kepatuhan atau kerjasama yang diberikan oleh orang-ramai dalam memastikan rantaian penularan jangkitan dapat dihentikan sepenuhnya. Masih wujud, segelintir yang sukar mematuhi peraturan atau SOP yang disarankan oleh pihak berkuasa. Setiap tindakan seolah-olah pandemik ini merupakan perkara yang tidak serius sama sekali.
Sikap sebegini mampu menjadi punca pandemik ini terus berada di dalam masyarakat, adakah kita semua lupa bahawa tahun ini merupakan tahun ke-2, kita hidup dalam situasi pandemik. Ada sahaja kes kematian yang dicatatkan disebabkan pandemik ini.
Tahu punca dan kesan, namun masih ramai yang bersikap tidak serius terutama berkaitan perkara asas iaitu mematuhi SOP yang sentiasa diubah bergantung kepada kesesuaian situasi. Jika kita melihat laporan berita semasa yang berkaitan dengan pandemik ini, semestinya ia memaparkan perbezaan sikap masyarakat dunia ketika berdepan pandemik ini.
Jika sesebuah negara mampu mengurangkan kes jangkitan, itu bermakna pihak berkuasa dan rakyat negara terbabit sama-sama memberi kerjasama agar jumlah kes dapat dikurangkan. Apabila sikap cakna wujud maka semua pasti mudah. Adakah itu bermaksud rakyat Malaysia kurang cakna?.
Aku percaya ramai pernah mendengar ungkapan "Cegah sebelum terlambat". Ungkapan yang amat berkait dengan soal sikap mematuhi SOP. Sesungguh benda yang paling mudah, merupakan benda yang paling sukar untuk dipatuhi walaupun bukan melibatkan semua pihak namun kesannya adalah pada semua.
Apabila situasi mula berada pada kedudukan luar kawalan, barulah timbul rasa menyesal. Sesuatu yang sangat mendukacitakan pada kita semua. Khususnya bagi mereka yang mematuhi SOP berbanding mereka yang gagal. Selagi wujud kepincangan sikap terhadap SOP, pandemik ini bakal terus wujud dikalangan kita.
Comments
Post a Comment