TAHUN 2021, UJIAN BERMULA
Tahun 2021 baru sahaja memasuki hari ke-5, masih dalam mood sambutan tahun baru. Namun kita selaku manusia, pasti di uji tanpa mengira waktu dan di mana. Ketika ini, di beberapa buah negeri atau daerah sedang di uji dengan dugaan yang sangat berat.
Ia semestinya merujuk bencana banjir yang sangat luar biasa pada kali ini. Walaupun pada ingatan aku, dugaan yang sama pernah terjadi pada beberapa tahun yang lalu. Semestinya ia sangat menyedihkan apabila ujian yang sama kembali.
Berdasarkan laporan di tv dan media sosial, bencana banjir kali ini turut meragut nyawa, di antara kes yang sangat menyentuh hati aku ialah bencana di Johor yang mana, difahamkan mangsa hanyut di bawa arus air bersama kenderaannya.
Ujian bencana alam ini turut menguji dari sudut kewangan, kenderaan yang tidak dapat diselamatkan, selepas ini harus dibaiki manakala rumah yang ditenggelami air, harus dibersihkan, manakala peralatan elektrik pasti ada yang tidak dapat digunakan lagi sedangkan bayaran ansuran belum dilunasi.
Aku dan keluarga sendiri pernah mengalami, sekitar tahun 2018, kawasan perumahan aku tinggal ditenggelami air yang lebih tinggi dari biasa sehingga peralatan rumah seperti katil, tikar atau kipas rosak sama sekali. Ma terpaksa berhabis hampir seribu ringgit untuk menggantikan peralatan yang rosak termasuk tikar getah.
Oleh itu, aku berharap pihak KWSP yang menguruskan program i-sinar, iaitu program yang membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan dari akaun 1 sehingga nilai maksimun 10 ribu ringgit.
Mempercepatkan proses permohonan pencarum, kurangkan birokrasi dan tingkatkan usaha dalam memproses setiap permohonan yang dilakukan.
Aku termenung sendirian, ujian apakah lagi bakal menyusul?, ahli politik pula tidak habis-habis berebut kuasa padahal masih banyak perkara perlu perhatian ahli politik tempatan dalam memastikan bantuan yang diperlukan sampai kepada rakyat.
Dari sudut berbeza, bencana banjir sememang bencana yang tidak mampu dielakkan kerana setiap tahun ia pasti hadir, bagaikan musim yang termasuk dalam kalender negara Malaysia. Selaku manusia yang berakal dan sentiasa berevolusi, seharusnya kita berusaha untuk meminimunkan risiko apabila terjadI bencana banjir.
Berdasarkan pemerhatian aku di kawasan kediaman aku sendiri, apabila terjadi banjir, ia banyak dipengaruhi keadaan manusia sekeliling. Longkang yang sepatutnya berperanan menyalurkan air hujan, tiba-tiba tersumbat dan akhirnya air yang mengalir melimpah keluar.
Masih wujud alur-alur longkang yang belum dibaiki sebaik mungkin, anak-anak sungai pula ditumbuhi rumput dan tidak terurus, pada aku masih banyak lagi faktor-faktor yang mempengaruhi terjadinya bencana banjir.
Paling penting ketika ini, kita harus berdoa agar air banjir semakin surut dan tiada lagi nyawa yang melayang kerana bencana banjir seperti yang dilaporkan.
Hakikatnya dugaan banjir harus dilihat secara menyeluruh, bukan hanya kepada rakyat tetapi kepada pemimpin sama. Pada pendapat aku, jika pemimpin gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat yang ditimpa musibah, maka pasti adili di akhirat nanti.
Comments
Post a Comment