MCO 2.0: DUA MINGGU PERTAMA
Maka bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 sehingga 26 Januari 2020. Seluruh rakyat Malaysia mengambil maklum bahawa pada kali ini, kerajaan membahagikan Perintah Kawalan kepada 3 kumpulan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Negeri Kelantan diletakkan dalam kumpulan PKPB bersama beberapa buah negeri lain termasuk Pahang dan Terengganu. Walaupun SJR kembali diadakan oleh PDRM dan dibantu oleh anggota Tentera dan RELA. Aku melihat secara umum, rakyat Malaysia memang mula alpa atau lupa dalam pematuhan SOP yang sebelum ini dipatuhi dengan sebaiknya.
Secara peribadi, aku berharap agar tempoh 14 hari yang ditetapkan mampu mengubah keadaan atau situasi penularan pandemik di Malaysia ketika ini. Namun andai ia makin ditakuk lama atau kian meningkat semestinya waktu pelaksanaan PKP akan dilanjutkan lebih lama. Mengikut laporan berita, kemungkinan lanjutan tambahan 2 minggu berikutnya.
Pada pandangan aku, penularan gelombang baru ini adalah dipengaruhi kepada 2 situasi yang sangat nyata. Pertama kebenaran melakukan aktiviti rentas daerah dan negeri.Impak kepada kebenaran yang diberi, mewujudkan beberapa kluster baru seperti Kluster Genting di Pahang dan Kluster Halban di Kelantan.
Situasi ke-2, ketidak patuhan rakyat terhadap SOP yang ditetapkan oleh kerajaan, aku melihat semakin tidak memakai facemask, kemudian tidak mengamalkan penjarakan sosial. Ia sangat ketara berdasarkan pemerhatian peribadi aku,terutama ketika di kawasan kedai Ketereh ini.
Bayangkan ketika kerajaan mengumumkan bahawa PKP akan dilaksanakan, ramai yang dilihat mengambil peluang untuk pulang ke kampung, memandang sesi persekolahan bagi negeri di bawah kategori PKP tidak akan dilaksanakan secara bersemuka seperti biasa. Bagi kakitangan awam dan swasta di kawasan PKP harus bekerja dari rumah.
Tindakan pulang ketika pelaksanaan PKP, berisiko mengundang penularan lebih kritikal. Sedangkan matlamat pelaksanaan untuk mengurangkan. Pada aku sememangnya apa yang terjadi dalam kehidupan kita ini adalah takdir, namun ia turut bergantung kepada sikap kita sendiri. Bayangkan seorang ibu tua meninggal dunia disebabkan terjangkit dengan anak yang pulang ke kampung tanpa terlebih dahulu buat saringan.
Penularan kali ini jika kita perhalusi, jumlah kematian yang dicatatkan sangat tinggi berbanding dari tahun lepas atau 6 bulan pertama awal penularan pandemik di Malaysia. Aku percaya tiada siapa mahukan diri atau ahli keluarga di kebumikan sebagai jenazah pesakit pandemik kerana segalanya harus mengikut SOP bagi mengelak jangkitan walaupun telah meninggal dunia.
Sekali lagi, aku bersetuju dengan setiap kenyataan dari KKM berhubung pelaksanaan PKP dalam waktu 2 minggu ini. Aku faham bahawa beberapa sektor baru ingin bernafas atau dalam proses pemulihan terutama sektor pelancongan domestik. Kini rebah lagi, itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan ketika ini.
Dua minggu ini bakal menjadi penanda aras bagi merancang plan seterusnya pada pendapat peribadi aku, isu penularan demi penularan baru yang terjadi bukan hanya terjadi di Malaysia sahaja tetapi seluruh dunia amnya. Maka kerjasama semua pihak iaitu rakyat dan kerajaan yang dapat memastikan kita mampu kembali ke fasa pemulihan semula.
Comments
Post a Comment