MASALAH KETIKA SESI PDPR
Di antara perkara menarik perhatian aku apabila bercakap tentang perkara terjadi di awal tahun 2021 ialah pelaksanaan PDPR bagi permulaan sesi persekolahan tahun ini. Setelah semua persiapan telah dilaksanakan sebelumnya seperti membeli pakaian atau keperluan sekolah.
Dalam kelompok family aku ketika ini, ada beberapa yang masih bersekolah, melihat proses PDPR yang dilaluinya jelas menunjukan wujud kelompangan namun ia tidak mampu di atasi cuma dihadapi agar para pelajar itu dapat meneruskan pembelajaran.
Anak kepada salah seorang sepupu, tidak menghadapi sebarang dalam penyediaan peranti atau kemudahan internet. Tapi mempunyai masalah dari segi fokus dengan sesi pembelajaran kerana guru yang ada didepan mata hanya sebesar kotak telefon pintar sahaja.
Manakala permasalahan bagi pelajar-pelajar lain ialah kemampuan memiliki peranti untuk kemudahan PDPR. Bukan semua lahir dalam keluarga berkemampuan, aku sendiri hanya merasa memiliki peranti ketika memasuki Universiti. Peranti yang minimun pada perhatian aku ialah memiliki telefon pintar, seterusnya Tab, lap top dan PC.
Pada pendapat aku, kebanyakan pelajar dalam keluarga B40, rata-rata yang kurang berkemampuan ketika ini, pasti melakukan sesi persekolahan menggunakan telefon pintar. Paling menyedihkan terpaksa berkongsi padahal sesi atau tahap kelas di antara adik-beradik adalah berbeza.
Bagi ibubapa yang masih berkemampuan, pasti tab atau lap-top menjadi pilihan, tambahan ketika ini, kedai yang menjual peranti seperti lap-top terpakai sangat banyak, membuat ibubapa mempunyai pilihan yang banyak. Bagi yang lebih berkemampuan, semestinya menyediakan PC yang lebih besar dan selesa kepada anak-anak, kos penyediakan PC lebih mahal berbanding memiliki tab atau lap-top.
Adakah wujud pelajar yang tiada langsung peranti?, ada dan ia dikategorikan pada aku sebagai pelajar keciciran kerana tidak memiliki peranti atau kemudahan internet. Jadi kumpulan ini, pada aku pihak kerajaan harus meneliti dan memikirkan bagaimana untuk membantu.
Walaupun memiliki peranti, bukan semua pelajar atau kawasan mendapat liputan internet. Disebabkan itu, kita sering mendengar laporan tentang pelajar harus memanjat bukit atau kawasan tinggi bagi mendapatkan liputan internet. Tahun 2021, pada aku seharusnya tiada masalah yang berkaitan dengan liputan internet.
Tahun 2018, aku pernah kongsikan bagaimana aku menjelajah ke setiap sekolah di negeri Kelantan. Memberi syarahan berkaitan dengan pembelajaran menggunakan kemudahan internet berserta peranti yang dimiliki pelajar ketika itu.
Masalah aku dan rakan-rakan temui adalah masalah liputan internet dan kemampuan para pelajar memiliki peranti. Aku rasa kami telah memanjangkan isu ini kepada Kementerian melalui syarikat dilantik iaitu majikan kami ketika itu.
Sesi persekolahan memasuki hari ke-6 bagi tahun 2021, semua media berita pasti menyelitkan laporan berkaitan dengan sesi pembelajaran PDPR. Termasuk skill yang digunakan oleh para guru ketika mengajar secara online. Walaupun aku tidak begitu memahami konsep PDPR, termasuk soal bagaimana sesi bermula kerana melalui sepupu aku, setiap ibubapa akan dibekalkan dengan password untuk membolehkan anak-anak mengikuti pengajian.
Semoga penularan Covid19 akan berakhir dan para pelajar dapat mengikuti sesi persekolahan seperti biasa, ketika ini aku rasa bersyukur tidak perlu mengikut pengalaman pembelajaran seperti sekarang yang sangat sulit dan membebankan pada aku kerana ibu dan abah, walaupun pesara kerajaan tetapi nilai pencen ketika itu sangat rendah berbanding sekarang.
Comments
Post a Comment