Kisah Pemimpin
Sebelum aku meneruskan penulisan ini, segala isi penulisan ini merupakan pandang peribadi aku sendiri disamping merujuk artikel atau laporan yang disiarkan untuk makluman orang ramai sebelumnya.
Di antara laporan berita yang menarik perhatian aku secara peribadi ialah EXCO, WAKIL RAKYAT KELANTAN DIJANGKA NAIK GAJI, merujuk laporan akhbar Sinar Harian. Ia berdasarkan kenyataan dari Timbalan Menteri Besar Kelantan yang menyatakan sekiranya Belanjawan Negeri bagi tahun 2021 diluluskan, semua exco dan adun negeri kelantan akan menikmati kenaikan gaji pokok di antara RM3000 sehingga RM5000.
Pada aku, alasan yang diberikan ialah untuk menyamakan gaji yang diperolehi Exco atau Adun negeri ini dengan gaji yang dinikmati oleh Exco dan Adun dari negeri-negeri lain. Sangat tidak boleh terima pada pandangan peribadi aku. Gaji yang diperolehi di syarikat besar pasti berbeza dengan gaji yang diperolehi di syarikat kecil. Ia merujuk kepada hasil pendapatan yang telah ditolak dengan segala kos-kos yang berkaitan. Semakin besar pendapatannya semakin besar gaji yang bakal diperolehi, itu mengikut hukum logik akal.
Jadi alasan menyamakan gaji sama sekali tidak boleh diterima kerana hasil pendapatan di antara negeri adalah berbeza, kita sendiri dapat menilai bentuk pembangunan fizikal di negeri yang mempunyai pendapatan tinggi berbanding sebaliknya. Mengikut laporan berita Awani dan Bharian, isinya hampir sama, di antara yang menariknya ialah mengaitkan peranan Adun ketika ini seperti Pegawai Kebajikan Masyarakat kerana rakyat sentiasa memerlukan bantuan dan perhatian mereka. Bukankah rakyat memilih mereka sebagai Adun untuk memberi bantuan dan perhatian apabila rakyat dalam kesusahan?.
Bukankah berdosa seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat tetapi tidak menjalankan tugas sepatutnya?. Mungkin didunia ini, hidup selesa, berkereta selesa, duduk di pejabat selesa tetapi adakah di padang Masyar pasti hidup selesa?. Aku merasakan seolah-olah menjadikan alasan rakyat bagi menjawab persoalan mengapa gaji pokok exco dan adun dinaikan. Aku percaya rakyat ketika ini, mampu menilai bagi setiap tindak-tanduk pemimpin mereka.
Rakyat kini tidak sama dengan rakyat dahulu, dunia kini tanpa sempadan. Hak para pemimpin untuk menikmati keistimewaan sebagai pemimpin, cuma diharapkan KPI mereka terhadap rakyat benar-benar tercapai sepenuhnya.
Banyak isu masih menjadi persoalan terutama isu pembekalan air di Kelantan. Ia masih menjadi isu utama yang sering diperbahaskan. Apakah usaha yang dilakukan setakat ini?.
Aku sekadar orang bawahan yang tiada kepentingan, exco naik gaji ke, naik kereta baru ke. Aku masih sama, menjaga emak di kampung ketika kawan-kawan sebaya meniti kejayaan dalam kerjaya masing-masing.
Comments
Post a Comment