WIRA NEGARA TERKORBAN
ANGKARA PENYELUDUPAN
Kita sedia maklum bahawa ketika ini, Malaysia berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Dalam waktu yang sama, semua Pasukan Keselamatan sedang berusaha melaksanakan Operasi Benteng iaitu memperketatkan kawalan bagi setiap sempadan negara termasuk Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menurut laporan mstar, berlaku insiden tembakan di sempadan Malaysia-Thailand sehingga mengorbankan seorang anggota PGA manakala rakannya cedera parah. Menurut harakahdaily, pertempuran tersebut dipercayai melibatkan 2 kumpulan penyeludup yang terdiri dari warga Malaysia dan warga Thailand.
Ketika membaca laporan berhubung kes terbabit, mengalir air mata aku, terbayang bagaimana situasi yang dihadapi oleh anggota PGA terbabit ketika bertempur dengan musuh negara yang jauh lebih ramai. Betapa hebat semangat Wira Negara berjuang sehingga mengorbankan diri sendiri.
Aku terbayang babak filem Bukit Kepong, anggota polis yang terkorban ketika bertempur dengan komunis dengan bilangan lebih ramai berbanding polis. Satu kisah yang akan kekal dalam lipatan sejarah, begitu juga kisah anggota PGA yang terkorban. Dengan jumlah penyeludup yang jauh lebih ramai, tidak berundur walaupun selangkah.
Hakikat yang kita harus ingat bahawa penyeludup merupakan musuh yang sangat berbahaya pada negara ini, memandangkan keadaan geografi negara yang dikelilingi lautan, sungai dan hutan belantara. Walaupun kita sering mendengar tangkapan demi tangkapan dilakukan namun ia tidak menakutkan hati para penyeludup.
Di Kelantan sendiri, aku melihat begitu banyak lorong tikus yang mampu digunakan oleh penyeludup dari negara jiran untuk lolos dari kawalan pasukan keselamatan. Paling menyedihkan jika ia dibantu oleh penduduk tempatan demi upah tidak seberapa.
Sekiranya pegawai Imigresin melakukan operasi pemutihan besar-besaran di Kelantan sebagai contoh, pasti ditemui ramai rakyat negara jiran berada di Malaysia tanpa memiliki sebarang dokumen rasmi. Ketika ini, di Pekan ini, hampir semua warga Thailand yang mencari makan di Kelantan pulang ke Thailand sejak dari pintu sempadan di tutup.
Oleh itu, aku amat berharap tindakan lebih drastik diambil oleh pasukan keselamatan setelah terkorbannya seorang wira negara. Jangan biarkan mereka terus bermaharajalela menyeludup bahan-bahan yang merosakkan bangsa ini.
Comments
Post a Comment