TAJAMNYA LIDAH
Kita selaku manusia normal pasti berbicara setiap hari, setiap waktu. Boleh dikatakan ada sahaja perkara yang ingin diucapkan atau dikatakan. Itu fitrah kita selaku manusia yang normal. Walaupun Islam mendidik Umatnya hanya berbicara sekiranya berasa perlu sahaja, selebihnya banyak berselawat dan berzikir pada Allah SWT.
Hampir setiap hari atau setiap petang, apabila membasahkan tekak di warung pak cik, boleh dikatakan setiap hari telinga ini menangkap percakapan yang kurang sopan pada sikap seorang manusia waras. Aku menulis soal ini kerana pelik, setiap hari hampir sama sahaja perkara yang diperkatakan, bukankah bicara soal-soal buruk yang belum tentu sahih kebenarannya itu boleh dikatakan sebagai fitnah?.
Paling memualkan aku terhadap sikap segelintir masyarakat depan mata, berbicara soal agama tetapi dalam waktu yang sama memaki atau memburukan orang lain. Ada sahaja kata-kata yang mampu menghilangkan imam di dada yang lahir dari lidah milik manusia yang ada kopiah di atas kepala. Benarlah kata orang iaitu lidah itu lebih tajam dari mata pedang.
Orang yang beriman itu, kurang bicara yang tidak penting. Perkara yang amat jarang aku temui ketika ini walaupun negeri ini terkenal dengan gelaran negeri Serambi Mekah, mungkin disebabkan peredaran waktu menyebabkan akhlak budi pekerti kian terhakis secara tidak sedar. Paling menyedihkan sekiranya ilmu itu ada cuma tidak beramal dan menyampaikan apa yang sepatutnya.
Bukan ingin mengaibkan sesiapa cuma dari kecil sehingga dewasa, aku sering disajikan dengan intonasi percakapan yang agak kurang sopan tetapi dianggap biasa bagi sesetengah orang. Memaki atau menyumpah lebih banyak dari berzikir di lidah, mungkin disebabkan itu cahaya Iman semakin hilang di wajah. Aku yang jahil ini, nampak dengan jelas perbezaan wajah orang yang sentiasa berzikir dan sebaliknya.
Ia berdasarkan pengalaman bergaul ketika di Universiti, sekiranya ada waktunya aku bergaul dengan teman-teman ahli Surau, ungkapan di bibir hanya mengingati Allah SWT sahaja, tambahan jika berteman dengan pelajar-pelajar APIUM, sangat terasa beza akhlak aku dengan mereka, ada waktu mendidik aku berpuasa sunat pada waktu tertentu.
Kembali kepada masyarakat sekitar aku ketika ini, tidak hairan jika anak-anak turut mula bicara tidak beradab kerana membesar dengan mendengar kata-kata yang dilahir dari lidah sang ayah atau ibu sendiri, akhirnya sebati dalam jiwa seterusnya apabila semakin dewasa menjadi hampir sama sikapnya dengan ibubapa. Maka seandainya anak-anak ini terjerumus ke lembah hina, maka elok dilihat pada ibubapanya terlebih dahulu.
Orang yang suka bercakap dengan kasar atau biadap ini, bukan jenis tiada kelulusan tinggi, malah ada kelompok yang elok latar belakang pendidikan.
Dari sudut berbeza, lihat sahaja bagaimana kelompok netizen di alam maya, mengkritik atau berbicara melalui tulisan yang sering kali menyakitkan hati sesiapa yang membacanya. Ini membuktikan bahawa Iman kita semakin menipis walaupun tidak menggunakan lidah, hanya peranti masih bisa mengundang dosa.
Bukankah ketika waktu kian tersisa, pahala dikumpul dan dosa dihapus agar kelak tidak menyesal tiada berguna kerana padang masyar tempat kita berhimpun. Siapa mampu mengangkat tangan bahawa dia confirm masuk syurga?, siapa mampu menuding jari bahawa orang itu pasti masuk neraka?. Betapa mudah jika kita ingin memasuki Syurga namun jangan lupa betapa mudah jua kita terjerumus ke dalam Neraka jika lisan kita tidak dijaga dan digunakan dengan sempurna.
Marah orang beriman, nada santun berbeza dengan marah manusia kurang bersyukur atas nikmat yang dirasai. Aku teringat pada seorang sahabat yang bernama Karim, masyallah sepanjang aku mengenali susuk tubuh ini, hanya senyuman terukir di bibir, walaupun dikata orang, amarahnya masih terukir senyuman disamping elok susun katanya.
Berkawanlah dengan manusia yang mampu membawa kamu ke syurga dan tinggallah kawan yang mampu membawa ke Neraka. Aku banyak belajar namun tersesat jua sepanjang bergelar manusia terutama dengan manusia sekeliling aku, dari zaman remaja hingga dewasa sampai semakin tua.
Apabila aku kembali ke serambi Mekah ini, nada bicara nista lebih banyak aku dengari dari bicara indah memuji kebesaran Ilahi, kadangkala aku terfikir sendirian, adakah tuhan sedang menguji aku sehingga tercampak ke lautan minda yang sukar di jangka. Ungkapan hitam lebih mudah dilontarkan dari mencari sebungkus nasi.
Namun ada yang pelik terasa apabila sang ayah lebih bisa ungkapan dari sang anak padahal kopiah sentiasa erat di atas kepala, malah ada tidak bagaikan lupa waktu, hanyut dalam dunia ketika muda padahal Malaikat Maut sentiasa mengunjung. Azan baru sahaja berkumandang tetapi orangnya telah ada digelanggang, hukum-hakam hebat dilisan bagaikan ilmu tuhan penuh di dada namun sayang, hebat pada ungkapan bukan pada perbuatan. Akhirnya menjadi contoh buat anak muda yang belajar menjadi insan akhir dadah dan ketum menjadi makanan.
Comments
Post a Comment