MONOLOG

Aku bukan seorang yang tidak bersyukur dengan apa yang dikecapi, namun aku selaku manusia biasa, mempunyai pelbagai rasa dan keinginan yang mahu dipenuhi walaupun keadaan diri membuatkan sesuatu yang dihajati tidak mampu diperolehi walaupun berusaha sehinggakan korbankan diri sendiri.

Aku sentiasa mengatakan pada diri sendiri bahawa takdir yang menetapkan aku untuk berada di sini. menjalani rutin yang agar membosankan sebenarnya bagi aku sendiri. Bukan bosan berbakti kepada ma, tetapi bosan dengan sekeliling.

Tambahan pula keadaan kesihatan aku yang tidak menentu membuatkan tiada pilihan lain kecuali redha dengan apa yang telah ditakdirkan sehingga kini. Jujur aku rindu sesuatu yang lama tinggalkan.

Aku rindu dengan suasana seperti Putrajaya, dikeliling dengan mereka yang berlumba-lumba memajukan diri dengan cara yang betul iaitu bekerja bukan dengan mencuba nasib bermain nombor ekor. Aku tengok tukang pengutip nombor dan wang taruhan tetap ada di kedai kopi pak cik.

Aku sentiasa melihat ke atas, langit yang menjadi bumbung telah menyaksikan apa sahaja tingkah-laku manusia setiap hari, adakah manusia mengikut haluan sepatutnya atau hanyut dengan nikmat yang sementara?.

Bumbung sama, lantai berbeza itu yang aku nampak ketika ini, teman-teman di Putrajaya sentiasa mengalu-alukan kehadiran aku ke sana berbanding bumi yang aku pijak kini. Benar jiwa aku bukan disini, bukan bersama mereka di sini, berkopiah di atas tapi di hati hanya Allah SWT Maha mengetahui.

Tirai Julai kini terbuka, saksi drama lakonan manusia, hanya Allah SWT jua yang Maha mengetahui ada apa dalam jiwa dan sanubari manusia. Aku tidak malu untuk mengaku bahawa jiwa dan sanubari diri sendiri turut dipenuhi kekotoran dunia.

Maklumlah umur kini menghampiri angka 40, namun tiada satu pun pencapaian yang mampu dibanggakan setakat ini, hanya memalukan, sebab itu walaupun aku melihat sendiri mereka bermain nombor ekor, aku hanya berdiam kerana aku pun seorang pendosa.

Aku sentiasa berdoa semoga keadaan ketika berubah ke arah lebih baik, langit yang kelam menjadi putih seputihnya, manakala bumi pula hijau sehijaunya agar aku rasa menjadi manusia yang berfungsi sepatutnya.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

Mengapa Pegawai Penerangan?