Exam SPA Tahun 2020


Hari ini keputusan bagi peperiksaan memasuki perkhidmatan awam telah diketahui, bagaikan telah diduga, aku gagal sekali lagi dan mungkin kali terakhir aku menduduki peperiksaan ini memandangkan usia kini memasuki 37 tahun.

Bohong jika aku tidak kecewa memandangkan menjadi impian aku sejak dari dahulu lagi untuk menjadi penjawat awam, namun ketentuan Allah SWT bahawa apa yang kita inginkan belum tentu kita dapat.

Jika sebelum ini, aku kerap gagal dalam temuduga kali ini aku gagal dalam peperiksaan pula, adakah aku dilahirkan menjadi manusia gagal?. Mereka yang sebaya dengan aku, kini meniti kehidupan yang penuh bermakna mempunyai isteri dan anak-anak yang tersayang.

Manakala aku pula masih lagi terkial-kial mencari haluan hidup ini, entah sampai atau tidak usia aku pada angka 60, mungkin esok atau lusa, kembali dengan penuh dosa dan noda. 

Peperiksaan kali ini, sejujurnya sangat sukar walaupun hanya 20 soalan matematik dan 20 soalan english. Sangat sedih penjalanan ini, aku bukan ingin jawatan yang besar, hanya gaji yang cukup menampung aku dan keluarga.

Jujur, aku tidak tahu ke mana haluan aku seterusnya, pada peringkat usia sebegini, aku rasa sangat sedih, peluang menjadi penjawat awam telah pun gagal, inikan pula peluang di sektor swasta, saingan lebih dari itu yang pasti.

Memandang laporan audit negara yang membentangkan bahawa jumlah pengangguran di Malaysia kini menuju kepada nilai 1 juta rakyat yang hilang pekerjaan. Fakta yang tidak boleh diubah sama sekali.

Aku tidak pasti adakah masih ada peluang untuk mereka yang sebaya dengan aku atau hakikat yang perlu diterima. Tiada lagi peluang tersedia. Apa yang pasti, kini aku gagal, entah bila pula mampu mengorak langkah kejayaan.

Cuma kadangkala aku pelik, mengapa ada segelintir penjawat awam tidak menghargai apa yang mereka miliki. Terutama apabila terpalit dengan isu rasuah, satu perkara negatif yang sentiasa dikaitkan dengan penjawat awam dari dahulu hingga sekarang.

Ada penjawat awam, mempunyai masalah displin, datang lewat kerja atau isu rumah tangga sehingga menjejaskan hubungan kekeluargaan. Mengapa?, adakah mereka sedar atau tidak bahawa ribuan lagi menanti peluang untuk menduduki kerusi yang mereka sedang duduki.

Bagi mendapatkan peluang peperiksaan SPA sukar apa tah lagi untuk menghadiri sesi temuduga. Ada perkara disebalik perkara yang aku tahu tetapi tidak mampu dikongsikan kerana nanti dikatakan fitnah disebabkan tiada bukti walaupun hakikat ia benar-benar terjadi.

Pada aku, menjadi penjawat awam merupakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, bukan medium untuk mencari harta kekayaan. Berat bebanan jika Amanah yang diberikan dikhianati kerana wang yang tidak seberapa.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

Mengapa Pegawai Penerangan?