SIFAT SEORANG MANUSIA
KISAH KEHIDUPAN MANUSIA ADA BERIBU CERITA
Hakikat sebuah kehidupan sememangnya mempunyai beribu jalan cerita yang membuatkan perjalanan singkat ini, mempunyai pelbagai rasa untuk dikongsi bersama. Namun paling mendukacitakan apabila ada suara-suara yang lagak seperti juri tanpa melihat diri sendiri.
Aku ingin berceloteh tentang masyarakat kita yang sentiasa cuba menjadi juri dalam kehidupan orang lain, seolah-olah kehidupan diri sendiri telah sempurna tiada cacat cela.
Bermula dari hidup seorang diri, apabila terlalu lama, mula ada suara luar berbunyi mengapa belum berkahwin lagi, bahkan lebih mendukacitakan ditambah rencah pelbagai bentuk fitnah yang sangat memalukan.
Aku amat yakin, ramai yang terkena keadaan sebegini, jika lewat kahwin, pasti ada mengata seperti kuat memilih, pemalas dan macam-macam lagi. Apabila dah berkahwin, di persoalkan mengapa belum ada zuriat lagi, sedangkan kita tahu, bahawa selaku manusia yang lemah, kita hanya mampu berusaha namun segalanya di atas ketentuan Ilahi jua.
Aku pernah kenal seorang Jutawan, ada segalanya, bahkan isterinya dua, namun ada kekurangan dalam pelbagai kelebihan, setakat aku mengenalinya, Allah SWT belum mengurniakan anak. Kekurangan yang mampu menganggu emosi sesiapa sahaja.
Aku kenal seseorang yang banyak kekurangan, suami sakit, isteri sakit, makan nasi hanya sekali sehari, ikan seekor dikerat 5. Ketika seribu satu kekurangan yang dimiliki, Allah SWT kurniakan kelebihan dari segi anak-anak.
Maka sesungguhnya begitu cerita dalam sebuah kisah kehidupan seorang manusia. Ada mempunyai segalanya sehingga pendapatan bulanan mencecah ribuan ringgit, tetapi kekurangan hanya tiada suami di sisi.
Ada pula tiada kerja tetap, namun sudah berkahwin sebanyak 3 kali, sampai aku sendiri naik cemburu, tidak mampu tetapi boleh berkahwin sehingga 3 kali.
Paling penting pada pandangan aku, solat jangan tinggal, doa jangan lupa kerana walaupun apapun kisah atau kekurangan, segalanya dalam kehendak Allah SWT jua.
Comments
Post a Comment