Temuduga di PPZ


Khamis lalu, aku menghadiri temuduga di Pusat Pungutan Zakat, Kuala Lumpur. Setelah hampir 3 tahun, aku tidak menghadiri sebarang temuduga kerja, atas alasan menjaga ma. 

Semestinya temuduga kali ini membuatkan aku agak kekok.

Dengan menaiki bas, aku bergerak dari Ketereh dalam pukul 9.00 malam, ruang kerusi penumpang pada malam itu penuh. 

Terminal Bersepadu Selatan merupakan destinasi yang dituju, walaupun kini aku sangat jarang menggunakan perkhidmatan bas ekspress tetapi situasi masih sama iaitu hanya perlukan masa sekejap sahaja, terus lena. 

Sedar-sedar telah sampai di kawasan RnR Gua Musang. aku sampai seawal 5 pagi, manakala masa temuduga aku pula pada pukul 7.50 pagi. 

Suasana di Terminal ketika itu agak sesak dengan ketibaan para penumpang dari serata negeri. Bukan hanya warga tempatan memenuhi kawasan dalam bangunan terminal, warga asing  turut memenuhi kawasan dalam terminal. 

Waktu yang masih panjang, aku ambil keputusan untuk berehat di sampig mencuba perkhidmatan hotel kapsul yang terletak di tingkat atas TBS.

Siapa sangka lot kedai yang tersedia di Terminal tersebut, dijadikan hotel atau tempat rehat sementara buat penumpang sambil menanti waktu siang. 

Kebiasaan, aku hanya melihat terminal dari luar bangunan tetapi kini aku berpeluang melihat dari dalam, sangat berbeza jika dibandingkan dengan terminal Hentian Putra.

Hotel kapsul yang ada di TBS, menawarkan ruang rehat & tidur yang agak selesa, dengan harga berpatutan pada pendapat aku, malah ketika check ini, ruang yang ditawarkan hampir penuh. Harga yang ditawarkan, berpatutan jika ikut harga KL.

Selesai solat Subuh dan bersarapan, menuju ke lokasi temuduga, menggunakan perkhidmatan teksi tambang yang sedia menanti penumpang di aras bawah TBS.

Di sini, seperti yang disangka, pemandu cuba manipulasi harga tambang dengan para penumpang. Walau teksi mempunyai meter tetapi harga telah ditetapkan terlebih dahulu oleh pemandu. 

Aku menggunakan perkhidmatan sebelum pukul 7.00 pagi, maka harga yang dikenakan sedikit mahal walaupun sekiranya mengikut harga pada meter sedikit rendah berbanding harga yang dimanipulasikan.

Aku sampai agak awal walaupun lokasi Pusat Pungutan Zakat berada di laluan kesesakan lalu-lintas terutama di awal pagi, warga kota menuju ke tempat kerja masing-masing.

Jumlah calon yang hadir untuk temuduga ialah 15 orang, jawatan yang perlu di isi ialah Eksekutif Komunikasi Korporat

Rata-rata calon mempunyai pengalaman kerja yang berkaitan berbanding dengan aku, kesemua calon tinggal di kawasan pantai barat, hanya aku seorang sahaja dari pantai timur.

Sesi bermula dengan ujian bertulis, mengambil masa sejam, kemudian baru sesi temuduga bermula. 4 Panel sedia menunggu, satu demi satu calon masuk ke dalam ruang khusus temuduga.

Ketika ini, aku seperti ingin putus asa, sesungguhnya setiap majikan inginkan bakal pekerja mereka merupakan individu yang terbaik dikalangan yang terbaik. 

Tambahan pula, jika calon mempunyai kemahiran dalam soal agama, itu merupakan kelebihan bagi seseorang calon itu, nasib baik aku tidak kena membaca Al-Quran dihadapan panel.

Waktu terus berjalan, seorang demi seorang mula dipanggil, aku berada di senarai ke-3 bagi giliran ditemuduga.  

Petang itu, aku akan terus pulang ke Kelantan jika segalanya selesai seperti yang dirancangkan.

Oleh kerana kekurangan pengalaman dari soal kerja, maka tidak terlalu banyak sesi menyentuh soal perkongsian pengalaman, sekadar lebih menjurus pandangan atau pendapat berkenaan agensi terbabit.

Aku seperti merasai ke mana arah sesi ini akan dibawa. Bukan calon simpanan atau yang berjaya semestinya. 

Walaupun begitu, aku redha kerana peluang temuduga kali ini mendedahkan banyak kelemahan diri aku sendiri.

Sesi berakhir lebih awal, kesempatan yang ada, aku gunakan untuk menjenguk mak cik aku di Cheras, agak lama tidak bersua muka, tambahan pula selang beberapa hari kemudian, mak cik mengadakan Majlis Kenduri Kahwin anak bongsunya.

Pada awalnya aku cuba mendapatkan teksi, melihat waktu di tangan, rasanya agak susah mendapatkan teksi pada ketika itu. 

Situasi tersebut telah lama aku alami sejak dari zaman belajar di UM lagi. Hanya nasib menentukan adakah kita berjaya mendapatkan teksi atau sebaliknya. 

Mengenangkan masa yang terbatas, aku terpaksa belajar order perkhidmatan e-hailing, percubaan kali pertama, nasib baik berjaya, mudah dan selesa. Harga yang dikenakan pula mengikut kadar syarikat bukan ikut kehendak pemandu.

Bersembang seketika sambil minum secawan air di rumah mak cik, tidak sedar bahawa waktu untuk aku pulang hampir tiba, sekali lagi menggunakan khidmat e-hailing untuk pulang ke TBS. 

Keadaan atau suasana di Terminal tidak terlalu ramai dengan penumpang, jam menunjukkan waktu pukul 1.00 petang.

Pagi Subuh baru sampai KL, kini selesai Zohor, aku kembali semula ke Kelantan, pada hari yang sama. Walaupun penat, aku harus telan juga sebab keesokan harinya abang aku pula ingin datang ke KL.

Pukul 11.00 malam, aku selamat sampai ke kampung halaman, begitulah kisah pengalaman temuduga kali pertama buat tahun 2019. 

Walaupun harapan samar-samar, sekurang-kurangnya ada pengalaman yang ditimba ketika usia makin tua.

Banyak kisah dalam sehari, cuma berkongsi apa yang boleh dikongsi, selebih simpan dalam hati termasuk hati berkenan pada suri cuma sayang sudah menjadi isteri, kalau tidak sendiri tempah mati. 

Kisah dan seloka bercampur sekali, kerana belum tentu ada peluang lagi, usia semakin bertambah setiap hari, peluang semakin sempit tinggal hanya simpati.



Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?