Konflik Tanah Atuk

Topik yang ingin dikongsikan pada kali ini berkaitan dengan tanah pusaka, ia merujuk harta yang ditinggalkan oleh ibubapa kepada anak-anak yang masih hidup. Kebiasaan tanah pusaka ini  sering mewujudkan konflik keluarga, namun ramai lupa bahawa ia turut menimbulkan konflik dalam masyarakat.

Aku pernah hadiri perbicaraan soal tanah pusaka di pejabat tanah daerah, pegawai berkenaan menyarankan kami berbincang terlebih dahulu di luar kamar bicara sebelum masuk untuk memaklumkan keputusan yang dicapai. Tanah bukan isu kecil, adik-beradik boleh bergaduh rebutkan tanah walaupun hanya sekangkang kera. Itu yang dikatakan sering berlaku di pejabat tanah daerah, masing-masing mendakwa mempunyai hak ke atas tanah pusaka.

Tiada siapa tidak ingin memiliki tanah walaupun tidak seluas mana, selagi ada geran yang tertulis nama sendiri di atasnya. Itulah kehendak semua orang yang waras akalnya. Adakah sama dengan hati nurani?. Ibubapa aku merupakan anak dari keluarga yang susah terutama ma berbanding abah yang masih memiliki tanah warisan nenek moyang terdahulu.

Mujur arwah nenek sebelah ma memiliki sedikit tanah pusaka ihsan dari orang tua-tua, maka didirikan rumah yang semampu mungkin untuk didiami bersama anak-anak. Atuk seorang "Jungle Squad", pendapatan yang diperolehi tidak seberapa ketika waktu itu. Apabila anak-anak ada yang  mula bekerja barulah rumah kecil dapat dibesarkan sedikit demi sedikit untuk keselesaan.

Walaupun ayah kepada ma, mempunyai tanah yang diterokai bersama bapanya. Namun hak itu, dinafikan apabila tanah tersebut, dirampas oleh ibu tirinya dan diberikan kepada anak angkat ibu tirinya. Atuk tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia diserahkan sendiri oleh bapanya, sesungguhnya benarlah imej ibu tiri itu sangat kejam di dunia nyata, bukan hanya di filem pacak semata-mata.

Paling melucukan pada aku, ibu tiri tahu bahawa tindakanya salah tetapi masih tidak mengembalikan hak atuk, sebaliknya sekadar meminta maaf atas dosa yang dilakukan. Sejujurnya aku terfikir, benarkah ikhlas memohon maaf atau sekadar berpura-pura insaf?. Walaupun atuk telah memaafkan dosa ibu tirinya tetapi dosa tetap dosa selagi tidak dikembalikan hak kepada yang berhak.

Kami lahir dalam keluarga yang susah, begitu atuk & nenek  yang zaman muda mereka hidup dalam kesusahan, andai hak atuk di serahkan oleh ayahnya. Mungkin keadaan kami sekeluarga lebih baik dari sekarang. Bukan itu sahaja, nasib atuk bertambah menyedihkan apabila tanah peninggalan ibunya dirampas oleh kaum kerabatnya dengan pelbagai alasan apabila ibu atuk meninggal dunia tanpa sempat meninggalkan wasiat.

Ma kata, "biarlah orang merampas hak kita diatas dunia ini kerana kelak mereka juga yang bakal rugi". Tanah pusaka, tanah keramat bukan boleh dibuat main-main, apa lagi dirampas dengan cara menjijikan.Bagaimana kisah tanah sebelah keluarga abah?, alhamdulillah walaupun tidak kaya dengan harta  namun masih mempunyai tanahair yang diwarisi, abah selaku anak lelaki memperolehi hak di atas pusaka yang ditinggalkan oleh ibunya.

Bahkan atuk kami sebelah abah, sempat memindahkan hak miliknya yang sepatutnya menjadi milik abah ke atas kami. Walaupun tindakan itu menimbulkan sedikit rasa tidak senang bagi sesetengah pihak. Keadaan ini banyak menimbulkan konflik yang mengundang, jika ada dikalangan pemilik bersama mempunyai sifat pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan soal orang lain.

Soal hak tanah ini jangan dibuat main-main kerana ia mampu mengheret kita ke dalam neraka secara tidak sedar terutama apabila melibatkan pemilikan bersama kerana tanah itu warisan turun-temurun. Isu tanah, kalau hendak dikupaskan memang panjang kerana melalui pemerhatian, ia mampu mengelapkan mata manusia. Sanggup mengambil atau mencuri hak orang lain dalam diam, akhirnya mati pun tidak, hidup pun tidak. Cuma aku bersyukur Allah SWT mempermudahkan hasrat arwah abah untuk mewakafkan tanah pusaka miliknya kepada pihak Masjid, semoga menjadi bank amal untuk abah di akhirat nanti.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?