Hala Tuju Hidup

Aku pasti semua orang pernah mendengar perkataan MISI dan VISI yang sering merujuk kepada arah tuju sesebuah organisasi. Hakikatnya kita sendiri selaku manusia juga mempunyai MISI dan VISI yang tersendiri. 

Mungkin keadaan kehidupan setiap dari kita berbeza tetapi MISI dan VISI tetap sama kerana di penghujungnya kita akan mati, kemudian dibangkitkan dan ditentukan oleh Allah SWT berdasarkan amalan di atas dunia. 

Adakah kita bakal ke Syurga dan Neraka buat selamanya?.

Aku percaya ramai yang mengetahui apakah arah tuju hidup mereka, namun masih ada kelompok yang masih tercari-cari arah tuju kehidupan mereka termasuk aku sendiri. 

Benar, aku masih belum pasti apakah hala tuju hidup ini. Walaupun usia kini memasuki 38 tahun, terlalu banyak perkara yang menimbulkan keraguan peribadi.

Aku tertarik bercakap soal arah tuju hidup apabila mak cik yang baru sahaja kehilangan suami, berkongsi pendapat berkenaan soal hala tuju hidupnya. 

Sebelum ini, kehidupan dilalui bersama suami menyebabkan mak cik tidak pernah fikirkan soal hala tuju hidupnya. Kini perkara itu yang sering bermain di fikirannya kerana setiap hari yang dilalui sangat terasa kehilangan.

Sejujurnya aku ketika ini, hanya memikirkan soal ibu. Tambahan pula tahap kesihatan ibu yang tidak menentukan, menyukarkan aku untuk memikirkan soal hala tuju hidup yang lebih besar seperti memiliki keluarga sendiri. 

Siapa yang tidak cemburu apabila melihat rakan-rakan sebaya, dari zaman sekolah sehingga Universiti, memaparkan kebahagian yang kini dinikmati. 

Adakah aku berpeluang mempunyai isteri dan anak-anak seperti orang lain?. Apa yang direncanakan oleh Allah SWT buat aku di masa hadapan?.

Pentingkah mempunyai Hala Tuju Hidup?. Bergantung pada manusia itu sendiri. Adakah terus hanyut dengan dunia yang sementara ini atau bersiap sedia untuk menjalani kehidupan selepas kematian?.  

Walaupun sekaya mana kita di atas dunia ini. Apabila mati, kita pasti meninggalkan segalanya, tinggalkah ia sebagai warisan kepada ahli keluarga. Persoalannya apa yang kita bawa sebagai bekalan kehidupan selepas kematian?.

Setiap agama mempunyai kepercayaan yang berbeza tentang Hala Tuju Hidup terutama kehidupan selepas kematian selain kehidupan harian di atas muka bumi ini. 

Sebagai Muslim, terutama bagi mereka yang lahir sebagai Muslim harus memahami Hala Tuju Kehidupan kita. 

Allah SWT sentiasa berpesan “DEMI MASA SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU DALAM KERUGIAN”. Ketika kita masih mampu bernafas, itu bererti masa masih ada untuk kita tetapkan  Hala Tuju kehidupan di dunia dan akhirat kelak.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?