AIR KELANTAN PART 1


Di antara masalah yang kita sentiasa cuba elakkan adalah masalah gangguan bekalan air paip. Kebiasaan, laporan berita berkaitan dengan masalah sebegini sering melibatkan negeri-negeri kawasan pantai barat.

Namun itu tidak bermakna di kawasan negeri pantai timur seperti Kelantan, tidak menghadapi masalah gangguan bekalan. Sejak kelmarin, di kawasan kediaman dan sekitar mengalami masalah gangguan bekalan air. Cuma aku & keluarga masih bernasib baik kerana walaupun berlaku gangguan ia lebih kepada tekanan.

Ada sesetengah kawasan yang aku difahamkan, tiada langsung bekalan air ke premis atau kediaman pelanggan syarikat bekalan air di Kelantan. Aku berharap keadaan di kawasan kediaman semakin baik, bukan sebaliknya.

Lagi 4 hari, kita akan menyambut kehadiran bulan Ramadhan, bermulalah ibadah puasa dan aktiviti bersahur serta berbuka yang memerlukan penggunaan air yang lebih dari biasa.

Ditambah pula status negara ketika ini yang masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, menyebabkan baazar ramadhan tiada pada Ramadhan kali ini,sekali gus seluruh Umat Islam harus memasak sendiri juadah berbuka & sahur.

Aku berjaya menghubungi syarikat pengurusan bekalan air pada hari ini, setelah gagal menghubungi mereka sejak dari kelmarin. Wakil syarikat menerangkan status pemasalahan yang berlaku iaitu pihak syarikat sedang berusaha menyelenggara loji atau tangki bekalan air untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air bawah tanah kerana faktor kemarau seperti yang dihadapi negeri-negeri lain.

Wakil syarikat juga menerangkan bahawa pihak teknikal syarikat sedaya upaya cuba mengatasi masalah yang dihadapi ketika ini, aku sekadar meluahkan kebimbangan memandang tarikh menyambut Ramadhan pertama semakin hampir.

Menyentuh masalah gangguan bekalan air ini, semestinya ia bukan perkara baru, sering kali terjadi. Bahkan pak cik aku mencadangkan agar kami melakukan proses penggalian air dalam tanah sebagai salah satu usaha mengatasi masalah yang dihadapi.

Kita semua mengetahui bahawa kini kita memasuki tahun 2020, seharusnya kita mampu membina sebuah peralatan yang berkualiti dalam menapis atau menyaring air dari lautan. 2/3 dari keluasan bumi di liputi oleh lautan, seharusnya kita yang setiap tahun melahirkan graduan kejuruteraan mampu membina alat tapisan tersebut bagi langkah penyelesaian masalah gangguan bekalan air seperti sekarang.

Kebiasaan, apabila fasa PKP ini, aku menjadi pembantu tukang masak rumah, namun apabila masalah ini timbul, aku dapat berehat selama 2 hari dari tugasan memasak. Kalau difikirkan penat, aku harapkan PKP benar-benar tamat pada 28 April 2020. Kalau sambung, memang terawih di rumah sehingga raya jawabnya.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?