Bersyukur

 Sesungguhnya di antara perkara yang kita selaku manusia sering lupa ialah bersyukur dengan setiap nikmat yang Allah SWT kurniakan. Aku amat pasti sifat yang sentiasa wujud di hati kita ialah TAMAK, rasa tidak pernah cukup dengan apa yang dimiliki sedangkan masih ramai di luar sana yang kurang segalanya berbanding apa yang kita miliki.

Alhamdulillah, walaupun aku lahir dalam keluarga berpendapatan rendah, tidak pernah aku tidur dalam kelaparan. Namun, kadangkala wujud sifat TAMAK apabila melihat orang lain lebih dari apa yang aku nikmati. Keluarga aku boleh dikategorikan dalam kumpulan B40, namun alhamdulillah seperti aku katakan, semua mencukupi.

Apabila aku ketemu seorang anak yang seharusnya tidak perlu memikirkan soal wang tetapi sebaliknya harus berusaha atau bekerja untuk membantu ibubapanya yang sakit, aku rasa sangat BERSYUKUR dengan apa yang aku miliki. Dengan adik-beradik yang ramai, ibubapa yang sakit, anak ini bersama adi-beradiknya hanya makan nasi sekali sehari. Ketika ramai melaungkan kemajuan di tahun 2021, rupanya masih ramai yang berjuang seperti keluarga ini.

Walaupun berat bebanan di bahu, namun anak ini masih mampu memberi senyuman dan gembira dengan apa yang dia lakukan, meringankan bebanan ibubapa dalam membesarkan adik-adik yang masih kecil. Sesungguhnya Allah SWT Maha pengasih, mengirimkan seseorang buat aku, bagi merenung diri dan bersyukur dengan apa yang dimiliki walaupun ketika ini aku seorang penganggur.

Kedua ibubapa anak ini, walaupun sakit, tetap berjuang dengan pelbagai cara bagi memastikan anak-anak mereka makan walaupun hanya sekali sehari. Kisah hidup kami mungkin hampir sama, hanya sedikit berbeza. Aku juga lahir dalam keluarga yang bukan senang, ibu dan abah aku, masing-masing datang dari keluarga yang daif namun masih mampu untuk kami makan sebelum lapar hadir.

Aku percaya ramai pernah melihat filem "Pak Belalang", kisah si "Belalang" yang mencari pekerjaan dan melakukan apa sahaja yang mampu dilakukan demi beras buat dia dan bapanya. Begitulah kisah anak ini yang aku ceritakan, seringkali bertanya kepada jiran tetangga, pekerjaan yang boleh dilakukan demi mendapatkan upah buat keluarganya.

Aku belajar sesuatu apabila melihat kehidupan anak ini, belajar bagaimana menghargai atau bersyukur  dengan apa yang aku kecapi selama ini. Hakikat kita tidak boleh sentiasa melihat kelebihan orang lain, harus sentiasa melihat kekurangan orang lain agar wujud sifat ihsan dan bersyukur dalam hati.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?