Kemenangan Tipis

 Politik Malaysia ketika ini, pada pendapat aku seperti babak drama bersiri kerana dipenuhi dengan pelbagai elemen yang dijangka dan hasilnya amat mengecewakan dan mendukacitakan. Umum sedia maklum bahawa Pilihan Raya Umum di Malaysia akan diadakan setiap 5 tahun sekali, 222 kerusi Dewan Rakyat di pertandingkan dan dikalangan 222 kerusi tersebut, seorang akan dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Keputusan PRU ke-14, kita semua mengetahui bahawa parti Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan parti Barisan Nasional (BN), kemudian PH telah memilih bekas Perdana Menteri ke-4 sebagai Perdana Menteri ke-7. Pentadbiran negara berjalan seperti biasa untuk beberapa ketika di bawah PH, kemudian drama politik bermula.

Pada waktu yang sama, dunia dilanda Pandemik C19 sehingga meragut jutaan nyawa. Drama politik masih berterusan dengan rakyat menjadi saksi, kita mendapat 3 Perdana Menteri dalam penggal yang sama. Satu situasi yang luar jangkaan pada pendapat aku, drama politik bukan hanya di peringkat persekutuan tetapi turut melibatkan peringkat negeri, beberapa buah negeri terpaksa menukar pentabiran negeri akibat kekurangan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Malah berlaku Pilihan Raya Negeri di Sabah ketika negara menghadapi Pandemik C19. Aku bukan seorang penyokong tegar politik tanahair, sekadar mengikuti dengan rapat segala perkembangan yang berlaku kerana kestabilan politik sesebuah negara amat mempengaruhi segalanya terutama pelabur asing untuk menanam modal di negara tersebut.

Drama politik baru kini sedang berlaku di Melaka, aku tidak pasti bagaimana kesudahannya, adakah berlaku pertukaran pucuk pimpinan negeri atau situasi kekal aman. Namun pendapat aku secara peribadi, pentas politik seperti bermain catur, harus tahu bagaimana menyerang dan bertahan dalam waktu yang sama. Baru mampu bertahan lama dalam pentas ini.

Apabila melihat pelbagai polemik yang terjadi di dalam negara ketika ini, seharusnya PRU ke-15 diadakan secepat mungkin bagi mengelak terjadinya drama baru dalam arena politik tanahair, sesungguhnya rakyat telah penat melihat semua ini, ketika pandemik mendatangkan kesan yang teruk pada rakyat Malaysia, kemudian kestabilan politik pula sentiasa bergolak. PENAT.

Aku mengharapkan pada PRU ke-15 nanti, ada pihak yang mendapat kemenangan majoriti, hal ini perlu bagi mengelak drama yang sama berulang kembali. Cukup drama yang kita saksikan ketika ini disebabkan ahli Dewan Rakyat sentiasa berubah sokongan. 3 Perdana Menteri dalam tempoh 5 tahun. Aku tiada kata-kata untuk menggambarkan semuanya.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?