Anak & Sekolah

Minggu ini bermulanya sesi persekolahan yang baru bagi para pelajar peringkat sekolah rendah di seluruh negara. Semestinya para pelajar teruja untuk kembali mengikuti sistem pendidikan bersemuka. Setelah sekian lama hanya bersekolah di atas talian dan semoga kali ini, sistem pendidikan kembali ke landasan yang sepatutnya termasuk di peringkat Universiti.

Paling menarik perhatian aku bila rakan-rakan sebaya, berkongsi keterujaan mereka menghantar anak-anak ke sekolah di sosial media. Walaupun hanya melihat gambar-gambar keterujaan anak-anak termasuk ibubapa bila sesi bermula, aku tumpang berasa happy dengan tugasan baru rakan-rakan, pada waktu yang sama merasakan ia seperti memberi isyarat bahawa aku dan rakan-rakan telah memasuki fasa kehidupan yang baru, kami bukan lagi bergelar anak semata-mata tetapi kini kami turut bergelar ibubapa.

Bohong jika aku tidak cemburu melihat perkembangan terbaru rakan-rakan yang lain. Aku sendiri teringin dan berharap semoga satu hari nanti mendapat peluang seperti rakan-rakan yang lain. Bangun awal untuk bantu isteri siapkan anak-anak, kemudian hantar mereka ke sekolah masing-masing. Cuma aku sedar bahawa Allah SWT memberikan apa yang aku perlukan bukan apa yang aku inginkan.

Tapi salahkah jika aku berangan-angan menjadi seorang bapa?, menjadi kawan baik kepada anak-anak?. Sesungguhnya ketika ini, aku hanya menempuhi apa yang tersedia pada hari ini dan berdoa untuk hari esok serta berdoa semoga kesilapan semalam tidak lagi berulang dalam hidup yang singkat ini.

Aku hanya mampu simpan sedikit kenangan sebagai seorang abang saudara, menghantar adik sepupu dari sekolah rendah, membawa ke sekolah menengah dan seterusnya ke Matrikulasi.Mungkin aku melakukan kesilapan dalam memilih pilihan laluan hidup yang ada sebelum ini. Cuma paling aku kagum, sahabat aku yang banyak membantu ketika mula-mula aku bekerja di Putrajaya. Aku ingat berkahwin kali ke-2, rupanya kali ke-3. Hebat sahabat aku yang seorang ini.

Mungkin aku masih ada harapan dan peluang untuk menikmati peranan sebagai ibubapa, mungkin sebagai bapa tiri. Maklumlah pada usia 40 tahun, aku sering merasakan aku telah terlewat untuk mempunyai zuriat sendiri. Namun apapun Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk aku. Sesungguh fitrah kita untuk hidup berpasangan, tidak hairan jika sepupu aku sering berangan untuk berkahwin. Aku tersenyum dan berdoa semoga Allah SWT kirimkan bakal isteri buat adik sepupu aku yang seorang ini.

Kelmarin, bergelar anak, hari ini bergelar ibubapa dan hari esok bergelar atuk. Kemudian bergelar jenazah. Begitulah ringkasan kitaran hidup ini. Cuma bukan semua tahu bersyukur dengan nikmat yang diberikan, masih ramai yang hanyut godaan dunia sehingga lupa tanggungjawab sebagai suami dan ayah. Bagaimanakah keadaan aku bila bergelar ayah kelak?. Angan-angan itu percuma dan tidak berdosa selagi tidak langgar batasannya.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?