Mercun Aidilfitri

 Pada asasnya, aku berpendapat tidak salah untuk bermain mercun atau bunga api sempena ketibaan 1 Syawal. Sambutan Hari Raya Aidilfitri boleh diibaratkan tidak meriah jika tiada aktiviti bermain mercun atau bunga api yang dibenarkan oleh kanak-kanak. Ia bagaikan pelengkap kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Apabila menyebut mercun atau bunga api, kanak-kanak merupakan kelompok yang paling seronok. Aku sendiri di zaman kanak-kanak turut teruja untuk bermain mercun atau bunga api. Percikan bunga api membuatkan sesiapa sahaja yang melihat terleka. Cuma ada di antara kita lupa bahawa setiap perkara itu mempunyai batasannya termasuk bermain mercun dan bunga api.

Bukan semua mercun atau bunga api sesuai untuk dimainkan. Ada Mercun atau bunga api yang menghasilkan bunyi letupan yang kuat, ianya sangat tidak sesuai dimainkan terutama di kawasan taman perumahan seperti tempat tinggal aku sekarang. Mercun dan bunga api yang mempunyai kadar letup yang kuat dari biasa, mampu mendatangkan kemudaratan dan bencana yang mengejut seperti kecederaan atau kebakaran kediaman. Semua ini berlaku disebabkan sikap masyarakat setempat yang pada pendapat aku tidak cakna dengan perasaan manusia sekeliling.

Di antara artikel yang melaporkan kesan bermain mercun atau bunga api terhadap manusia seperti Utusan atau astroawani. Namun pelik, masyarakat seolah-olah tidak serik untuk bermain mercun atau bunga api yang tidak sepatutnya walaupun telah ramai menjadi mangsa.

Aku tertarik pada kenyataan rasmi akhbar tempatan tentang sesiapa sahaja yang memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207). Walaubagaimanapun masih wujud penjual yang menjual bahan letupan seperti mercun atau bunga api yang dilarang secara berleluasa.

Bahkan ada yang sanggup mengupah kanak-kanak sebagai buruh untuk menjual mercun atau bunga api yang dilarang secara terbuka di Bazar Ramadhan. Mengapa keadaan ini boleh terjadi?, lokasi Bazar Ramadhan Kedai Ketereh dengan Balai Polis hanya beberapa Meter sahaja. Adakah disebabkan tiada ketegasan yang penguatkuasaan menyebabkan penjual mercun dan bunga api semakin berani menjual produk terlarang mereka?.

Mengikut teori asas, sekiranya sesuatu produk itu tiada penawaran atau permintaan dalam pasaran. Maka sesuatu produk itu tidak akan berada di pasaran dalam tempoh yang lama. Mercun Bola merupakan salah satu mercun terlarang, sehingga sekarang masih ada dalam pasaran. Di waktu aku kanak-kanak, telah wujud mercun bola dan telah berlaku kemalangan yang tidak diinginkan.

Di antara artikel berkaitan dengan kesan membakar mercun atau bunga api yang dilarang. ASTRO AWANI atau Utusan. Rumah terbakar kerana terkena mercun atau bunga api yang dilarang. Ketika artikel blog ini ditulis, pelbagai bunyi mercun kedengaran di luar rumah aku sehingga bunyi percikan api di atas rumah aku jelas kedengaran. 

Manakala Balai Polis hanya beberapa ratus meter dari lokasi letupan, tapi aku melihat seperti tiada tindakan sewajarnya diambil. Aktiviti membakar mercun atau bunga api yang dilarang semakin rancak sehingga menimbulkan ketidak selesaan untuk solat. Aku berdoa semoga Allah SWT memberi keadilan kepada aku yang dizalimi oleh pihak yang terlibat dengan aktiviti membakar mercun dan bunga api ini.

Apakah perasaan pihak berkuasa jika saudara mereka sendiri yang sedang sakit atau bayi yang baru dilahir terganggu dengan bunyi letupan mercun yang bertalu-talu?. Jika berlaku musibah, cukup untuk mengungkapkan maaf?. Mungkin inilah bukti tahap pemikiran rakyat Malaysia yang sebenarnya. Pentingkan diri dan tidak memikirkan perasaan orang lain.

Hanya pihak berkuasa sahaja boleh menegak undang-undang yang sedia ada dan memastikan tiada yang menjadi mangsa. Bukan salah kanak-kanak yang bermain mercun atau bunga api terlarang tetapi ibubapa yang membelinya tanpa memikirkan perasaan jiran tetangga. Jelas wujud sikap pentingkan diri sendiri dalam masyarakat masa kini.

Aku pelik mengapa bekalan mercun atau bunga api yang terlarang sentiasa wujud?. Adakah berlaku kebocoran pada benteng penyeludupan sempadan?. Semestinya tiada siapa yang mengaku melakukan kesilapan. Akhirnya orang yang lain buat salah dan orang lain jadi mangsa. Itu Malaysia.

Jika benar mercun atau bunga api yang terlarang datang dari negara jiran, adakah itu bererti aktiviti penyeludupan aktif?. Jika mercun bolos, bagaimana barangan terlarang yang lain?. Sempadan Kelantan dan Thailand hanya dibatasi sungai golok yang pendek, pasti wujud banyak laluan tikus untuk membawa masuk mercun dan bunga api yang terlarang.

Paling dibimbangi penyeludup membawa masuk benda yang lagi bahaya dari mercun dan bunga api seperti senjata api.Takut untuk membayangkan jika barang terlarang seperti senjata api berjaya diseludup sebagaimana bunga api dan mercun. Ia mampu mengugat keselamatan negara.

Oleh itu, aku berharap terutama pegawai polis yang bertugas di Balai, lakukan rondaan jika terdengar bunyi letupan yang sangat kuat seperti aku alami ketika ini. Ibu aku sepanjang Ramadhan asyik di kejutkan dengan bunyi letupan. Jika berlaku apa-apa pada ibu, aku salahkah pihak polis kawasan aku kerana tidak tegas. Penjual boleh menjual sesuka hati mercun dan bunga api.



Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?