Sayang & Tanggungjawab

 Semestinya setiap pasangan yang berkahwin, sayang pada pasangan masing-masing. Cuma kasih sayang yang wujud, sebolehnya tidak menyebabkan bebanan pada orang lain.

Aku merujuk kebanyakan pasangan muda yang berkahwin. Kematangan atau kesediaan mereka dalam meniti kehidupan sebagai pasangan suami-isteri jelas berbeza dengan pasangan dahulu.

Suami atau isteri seharusnya telah mengetahui tanggungjawab masing-masing apabila selamat dinikahkan. Perkahwinan itu, bukan hanya ibadah atau sebagai tanda cinta di antara pasangan tetapi merupakan tanda kesediaan suami atau isteri untuk memikul tanggungjawab.

Pada aku, sebab itu wujud satu tempoh dipanggil pertunangan. Tempoh untuk setiap pasangan yang bakal berkahwin, membincangkan tentang peranan masing-masing apabila berkahwin nanti. Terutama tanggungjawab pada ahli keluarga pasangan masing-masing. 

Jika wujud perasaan terbeban dengan tanggungjawab yang ada dalam sebuah perkahwinan, pada aku. Baik bakal suami atau isteri harus memikirkan segalanya dengan mendalam sebelum terlafaz ijab dan kabul. 

Berkahwin biarlah sekali, berpisah biarlah kerana mati bukan kerana gagal mengawal diri dalam cubaan atau dugaan perkahwinan zaman ini.

Kebiasaan apabila berkahwinnya satu pasangan itu,  masing-masing harus sedia maklum tugas yang telah tersedia buat sang suami atau isteri. Jika suami, tugas yang biasa harus di jalankan adalah menyediakan tempat tinggal pada keluarga.

Suami harus memastikan kebersihan luaran kediaman sentiasa terjaga termasuk membantu isteri menjaga kesihatan ahli keluarga. Manakala si isteri, harus menjaga makan dan minum berserta kebersihan dalam rumah.

Suami atau isteri harus ada sifat cakna bukan bersikap sambil lewa dalam hal urusan rumah tangga. Jangan asyik beri alasan atas kegagalan menjalankan tugas yang sepatutnya.

Harus faham bahawa sayang dan tanggungjawab adalah wujud bersama. Dari hidup berdua sehingga memiliki anak-anak pula nanti. Tidak salah meminta tolong orang lain tetapi biarlah berpada-pada. Jangan sampai perkara yang sepatutnya suami atau isteri lakukan, orang lain pula yang harus lakukan.

Aku meluah rasa kerana ia sentiasa berlaku dalam masyarakat sekeliling. Sehingga orang yang sekadar menolong terasa terbeban. Ikhlas menjadi sebaliknya.

Aku melihat kebanyakan pasangan muda yang berkahwin, banyak bergantung kepada ibubapa atau saudara-mara dalam membantu mereka. Seharusnya padangan muda yang baru berkahwin harus belajar bagaimana susah dalam menjalankan tanggungjawab bukan bila rasa sukar serahkan pada ibubapa atau saudara-mara atau kenalan.

Jika melihat pada status, aku tidak layak untuk membebel perkara berkaitan pasangan suami-isteri cuma kadangkala bila apa yang terjadi pada pasangan suami-isteri terutama pasangan muda. Tidak salah aku berkongsi pandangan walaupun pendapat dari si bujang tua seperti aku.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?