Suami Penagih Dadah

Aku tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan keadaan yang berlaku dalam masyarakat ketika ini. Dari kecil sehingga dewasa, aku membesar di daerah yang sama dengan isu atau masalah sosial yang sama. 

Aku bukan ingin memalukan sesiapa atau daerah sendiri, cuma berkongsi rasa apa yang berlaku disekeliling. Kata orang, lain padang lain belalang. Diharapkan apa yang elok dijadikan panduan, buruk dijadikan sempadan.

Masalah sosial yang aku maksudkan ialah penagihan dadah. Adakah ia kritikal?, mungkin. Aku tidak tahu bagaimana untuk menentukan adakah masalah penagihan dadah di daerah aku, kritikal atau tidak. 

Di Malaysia semestinya masalah penagihan dadah merupakan masalah yang tidak pernah selesai. Walaupun pelbagai usaha dijalankan, ada sahaja rakyat Malaysia yang terlibat dengan penagihan dadah.

Bahkan ada ibubapa yang dilihat seolah-olah cuba menyembunyikan masalah itu jika ia berlaku pada anak-anak mereka. Bahkan ada yang mula terlibat dengan penagihan dadah dari bangku sekolah lagi.

Cuma dikesalkan apabila ada kes, pada awalnya bukan seorang penagih. Telah berkeluarga dan memiliki anak, disebabkan tersalah pilih kawan akhirnya turut terjebak menjadi penagih dadah.

Apabila telah terjebak, satu per satu masalah mula timbul dalam keluarga. Suami mula malas bekerja, mula pukul isteri dan anak-anak. Isteri pula terpaksa bekerja demi memastikan anak-anak tidak kebuluran.

Ada isteri yang bekerja mengemas rumah jiran tetangga setiap hari. Jiran-jiran yang tahu masalah yang dihadapi, walaupun kerja yang dibuat tidak seberapa bahkan tidak perlu pun mengupah orang tetapi tetap upahkan isteri yang mempunyai suami seorang penagih dadah.

Bila sampai satu tahap, ahli keluarga kasihan. Isteri dan anak-anak di bawa pergi. Si suami bukan cuba berubah, bahkan lebih parah dengan kawan-kawan sentiasa memberi bekalan.

Itu ada satu dari banyak kisah yang terjadi di daerah ini, masih banyak kisah benar yang terjadi di daerah ini. Andai ibubapa terlepas pandang atau mengawal pergerakan anak-anak, 80% berisiko terjebak dengan dadah di daerah ini.

Ada kes, suami penagih dadah juga yang akhirnya mati. Tapi aku tidak tahu adakah ia disebabkan dadah atau sebaliknya.

Penagihan dadah sekarang tidak sama seperti digambarkan di kaca televisyen, tiada lagi jarum atau sudu atau lilin digunakan untuk penagihan dadah. Banyak kes yang terjadi melibatkan penagihan dadah berbentuk pil. Senang disembunyikan.

Aku tidak pasti wujudkah kes bapa dan anak, sama-sama jadi penagih dadah. Kalau adik-beradik itu, ada. Bagaimana perasaan isteri atau ibu bila suami atau anak terlibat penagihan dadah?. Hanya Allah SWT Maha mengetahui.

Mujur aku jenis orang yang tidak suka bergaul atau lepak di kedai makan seperti orang lain. Aku tidak ramai kawan yang rapat. Godaan penagihan itu ada, aku sahaja masih dilindungi Allah SWT.

Bahkan ada kenalan yang terlibat tapi tidak pernah cuba mempengaruhi aku untuk mencuba sama. Hanya sekali sahaja ketika aku mula-mula masuk Universiti, ada senior menawarkan aku untuk mengenali ganja. Nasib baik, aku tidak terjebak.

Setiap dari anggota masyarakat harus memainkan peranan dalam usaha menyelesaikan masalah penagihan dadah. Bayangkan menantu anda adalah seorang penagih?, apa perasaan anda selaku ibubapa?.

Bercakap soal penagihan dadah di daerah ini, mungkin aku mampu menghasilkan tesis. Mungkin cuma aku tersekat bagaimana untuk membuat penutup penulisan tesis tersebut kerana seorang penagih mati, pasti wujud lebih ramai lagi yang terlibat.



Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?