Azam Tahun 2022

Setiap kali apabila memasuki tahun baru, soalan yang kerap di tanya adalah "apakah AZAM untuk tahun ini?". 

Sesiapa sahaja boleh menyenaraikan bucket list AZAM sempena tahun baru, cuma adakah kita berjaya mencapai semua yang ada dalam bucket list tersebut?. Atau azam tinggal azam seperti sebelumnya.

Alhamdulillah, tahun ini aku bakal berusia 39 tahun, tinggal setahun lagi untuk berada di angka 40. Satu angka yang sangat menakutkan pada aku secara peribadi kerana sehingga sekarang aku masih gagal memenuhi AZAM sebagaimana orang lain. Bukan tiada usaha, cuma mungkin kelemahan diri sendiri.

Hal ini, membuatkan aku malas untuk mempunyai AZAM sebagaimana orang lain, aku hanya meneruskan kehidupan ini sebagaimana takdir yang Allah SWT tetapkan kepada aku dari dahulu sehingga kini. 

Cuma aku sentiasa berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan dan murahkan rezeki aku. Hakikatnya aku sedar bahawa Allah SWT memberikan apa yang kita perlukan bukan apa yang kita inginkan.

Apabila tahun berganti tahun, semestinya ada sesuatu yang berubah termasuk susuk tubuh aku sendiri, rambut di atas kepala semakin botak, mungkin sebagai tanda bahawa masa aku semakin singkat, manakala janggut yang sebelum berwarna hitam, kini sehelai demi sehelai menjadi putih.

Jika kelmarin, aku berbahasakan diri sebagai "abang", kini ia bertukar kepada "uncle". Itu yang dinamakan kitaran kehidupan kita selaku manusia. 

Cuma tinggal, siapa yang sedar dan siapa yang leka. Mungkin sebab itu, Islam mendidik umatnya supaya 'Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara'.

Aku baru teringat, aku ada azam untuk tahun 2022, walaupun mungkin tidak seperti azam orang lain, hanya aku harapkan aku mampu mempunyai pendapatan sendiri dan mendirikan rumah tangga. 

Sejujurnya aku takut, mati keseorangan di hari tua dan tiada siapa yang bakal mendoakan aku bila aku tiada nanti. Ok tak azam aku?.

Apa azam tahun 2022 kamu?.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?