Kisah Satu Hari

 Pada 6hb yang lalu merupakan tarikh temujanji ma untuk mendapatkan suntikan vaksin kali ke-3 atau booster, alhamdulillah segalanya berjalan lancar walaupun situasi di Klinik tersebut agak sibuk dengan orang-ramai yang turut mendapatkan suntikan vaksin kali ke-3. Adakah mungkin lepas ini, ada suntikan kali ke-4?, pandemik ini mungkin terus meragut nyawa umat manusia.

Tiada sebarang kesan yang ketara dialami oleh ma setelah mendapatkan suntikan booster, hanya rasa pening sahaja. Aku segera bagi makan paracetamol bagi mengurangkan rasa pening ma, mujur sebelumnya ma makan terlebih dahulu, bimbang berlaku kesan samping lain jika perut kosong ketika menerima suntikan. Segalanya berjalan lancar sehinggalah ketika ma ingin menunaikan solat Zuhur.

Hanya kerana kaki ma secara tidak sengaja tersepak tin biskut, berlakunya pendarahan yang serius, darah keluar dengan membuak-buak, walaupun panik, aku cuba tenangkan diri untuk menghentikan pendarahan tersebut. Tiada pilihan lain kecuali segera mendapatkan rawatan di Klinik yang sama ma mendapatkan suntikan booster tadi.

Situasi di Klinik pula, bertambah ramai orang yang ingin mendapatkan suntikan, ma segera di bahagian rawatan klinik terbabit. Proses rawatan dijalankan, disebabkan ma seorang pengidap penyakit kencing manis, prosedur jahit bahagian luka tidak dijalankan. Hanya mencuci bahagian yang luka sahaja.

Sesungguhnya aku masih dalam keadaan terkejut dengan apa yang berlaku. Ma baru sahaja bercakap dengan abang di Kuala Lumpur sebelum berlaku kejadian kaki berdarah. Sesungguhnya ujian Allah SWT hadir tanpa di duga. Aku cuba menahan air mata dari mengalir kerana hakikat aku marah pada diri sendiri kerana tidak mampu menjaga ma dengan sebaiknya.

Hanya dalam satu hari, ada dua kisah keadaan dalam hidup aku dan keluarga yang berbeza. Walaupun perit pada aku, cuba ikhlaskan hati untuk menerimanya. Aku hanya mampu berdoa semoga Allah SWT melindungi kami dari dugaan yang tidak mampu kami hadapi.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?