Kahwin itu mudah

Berkahwin!, tanyalah pada sesiapa sahaja, semua orang ingin berkahwin dan pasti ramai yang teruja terutama mereka seperti aku, bujang dan belum mempunyai pasangan untuk dijadikan isteri. Namun untuk berkahwin tidak semudah disangkakan kerana budaya atau adat boleh menyebabkan sesebuah perkahwinan itu semakin mencabar untuk dilaksanakan. Kos sebuah perkahwinan ketika ini, sangat mahal pada pendapat aku, nilainya kadangkala tidak masuk akal. Namun itu hakikat sebenar sebuah perkahwinan ketika ini.

Menjadi kebiasaan dalam adat  melayu, mempunyai pelbagai proses sebelum setiap pasangan boleh berkahwin. Kebiasaan, adat melayu, keluarga bakal pengantin lelaki akan menghantar rombongan ke rumah keluarga bakal pengantin perempuan untuk merisik, perlu ke merisik?. Pada pendapat aku, perlu kerana pihak keluarga bakal pengantin lelaki harus memastikan bahawa bakal pengantin perempuan belum bertunang atau berkahwin dengan sesiapa. Ia seperti proses suai-kenal di antara ahli keluarga pasangan.

Cuma jika bernasib baik, majlis merisik boleh bertukar kepada majlis bertunang. Begitulah yang berlaku kepada jiran tetangga aku, niat keluarga di lelaki, hanya ingin merisik si perempuan. Apabila ibubapa masing-masing bertemu empat mata, ibu di pihak perempuan mencadangkan cincin merisik yang dibawa dijadikan cincin bertunang. Berkahwin pula di akhir bulan. Apabila perkara mudah dipermudahkan, ia sangat menggembirakan semua pihak.

Sepanjang hidup aku, sering melihat kos perkahwinan yang mencecah puluhan ribu ringgit. Wang hantaran sahaja ada yang mencecah RM 20 ribu. Aku tidak mengerti mengapa begitu adat melayu dalam soal perkahwinan. Jiran tetangga aku yang bertunang itu, bakal berkahwin hujung bulan ini. Sememangnya keluarga pengantin perempuan benar-benar mempermudahkan urusan perkahwinan anak mereka. Itu yang terbaik.

Aku takut melihat kos perkahwinan masa kini, wang hantaran RM20 ribu, kos jamuan mencecah RM10 ribu, belum dicampurkan kos barangan perkahwinan, sewa pelamin dan sebagainya. Kebiasaan, bakal pengantin akan tempat pakej perkahwinan, kononnya lebih jimat. Padahal kosnya hampir sama. Belum lagi kos selepas perkahwinan. Akhirnya bercerai sedangkan hutang ketika berkahwin, masih belum dilunaskan lagi.

Pada pendapat aku, mungkin ramai orang lupa tujuan utama sebuah perkahwinan. Seharusnya setiap pihak terutama ibubapa bakal pengantin tidak terlalu tekankan perkara tertentu seperti wang hantaran, apabila berlaku keterlanjuran melibatkan anak-anak mereka, boleh pula dipermudahkan segala proses asalkan anak berkahwin atas nama menutup malu.

Tahniah kepada jiran tetangga aku, bakal menerima menantu. Menerima besan yang tidak terlalu cerewet dalam soal pernikahan anak-anak, mempermudahkan segala urusan yang wajib dilakukan sebelum Ijab & Kabul dilaksanakan. Aku sendiri berharap mendapat bakal mertua yang dipermudahkan segala proses pernikahan terutama dalam soal kos perkahwinan. Aku trauma dan seram melihat kos perkahwinan ahli keluarga aku sendiri yang memang tidak mampu aku melakukannya.

Mempermudahkan perkahwinan itu, mampu mengelak anak-anak muda terjebak dengan maksiat. Berdasarkan perkembangan semasa, kadar kelahiran luar dari penikahan masih lagi tinggi, menyebabkan kes pembuangan bayi turut meningkat dan membimbangkan. Oleh itu, semua pihak harus ingat bahawa kahwin itu mudah jika tahu hukumnya.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?