Kepercayaan Syirik

Jika melihat peradaban masyarakat Melayu sebelum kedatangan Islam, telah wujud pelbagai fahaman atau kepercayaan yang tahyul dalam masyarakat Melayu.

Mungkin disebabkan itu, masyarakat Melayu sangat mempercayai kepada bomoh, pawang atau apa sahaja gelaran yang diberikan kepada individu yang dipercayai mempunyai kebolehan mengubati pesakit.

Kepercayaan terhadap bomoh bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu semata-mata tetapi ia turut wujud dalam masyarakat kaum lain. 

Jika dilihat secara terperinci, mungkin ada sedikit perbezaan dari segi ritual rawatan seorang bomoh atau pawang.

Aku tinggal di Kelantan, sebuah negeri yang diberi gelaran "Serambi Mekah". Gelaran yang sudah menggambarkan dasar pemerintahan di negeri itu sendiri. Namun masih wujud segelintir individu yang mempercayai perkara khurafat seperti bomoh.

Dalam keluarga aku sendiri, masih menebal kepercayaan terhadap kebolehan individu bergelar bomoh. 

Aku tidak berniat membuka aib keluarga sendiri, hanya ingin memberi contoh kepada manusia bahawa Iman di dalam dada mampu terhapus hanya satu tindakan kecil seperti meminta pertolongan dari Bomoh atau pemahaman lain sebagai syirik.

Mak long merupakan kakak yang sangat rapat dengan ibu kerana mereka tinggal bersama ketika kanak-kanak sehingga dewasa. 

Tiada siapa menduga bahawa mak long mengidap penyakit kritikal dan paling menyedihkan ialah bukan doktor yang dicari untuk merawat ketika itu tetapi bomoh. 

Betapa jahil kami ketika itu sehingga tidak dapat membezakan apa yang betul apa yang salah.

Apabila menyebut perkataan Bomoh, semestinya cara perubatannya pasti mempunyai ritualnya yang dijalankan sememangnya sangat jauh dari landasan Islam. 

Bahkan seorang bomoh sentiasa mengaitkan keadaan seorang pesakit itu adalah kerana buatan orang atau makhluk halus, begitulah nasib mak long aku, padahal hakikatnya sebaliknya.

Mungkin mak long dapat diselamatkan sekiranya ketika itu terus mendapatkan pemeriksaan di hospital, bukan percaya bulat-bulat dengan apa yang dikatakan oleh bomoh. 

Namun hakikat yang harus diterima bahawa Mak Long telah pergi buat selamanya tanpa mengetahui apakah penyakit yang dihidapi oleh arwah.

Kepercayaan syirik atau khurafat terus berlaku dalam keluarga aku terutama ketika arwah atuk jatuh sakit. 

Ketika itu arwah abah ada beri pendapat bahawa tindakan yang diambil ahli keluarga adalah salah namun tidak diendahkan.

Ritual dilakukan oleh bomoh dan arwah atuk di tuduh mengamalkan amalan tertentu sehingga ada pendampingnya. 

Malah si bomoh yang melakukan ritual rawatan menuduh bahawa atuk mempunyai sesuatu sehingga menyebabkan atuk jatuh sakit.

Apabila di bawa ke hospital, baru diketahui punca penyakit arwah atuk bukan kerana syaitan atau iblis yang menjadi pendamping tetapi kerana amalan harian yang kurang sihat seperti menghisap rokok dan minum air yang sangat manis.

Akhirnya atuk meninggal dunia di hospital kerana terlewat mendapatkan rawatan bagi penyakit kansernya. 

Paling mendukacitakan bagi aku ialah mengapa begitu percaya anak-anak atuk terhadap kata seorang bomoh yang ritualnya memang terang lagi bersuluh bercanggah dari Islam.

Hakikatnya memang wujud penyakit yang berpunca dari makhluk yang tidak nampak oleh mata kasar kita, namun selaku Umat Islam. 

Adakah wajar kita meminta pertolongan manusia yang berkawan dengan makhluk tersebut?. Merawat gangguan iblis, minta pertolongan dari kawan iblis?.

Abang aku sendiri ada pengalaman terkena sihir dari bomoh. Hanya Zikir dan Solat yang diamalkan sebagai usaha mengubati penyakit yang dihidapi. Hakikat kita harus bergantung harap pada Allah SWT kerana setiap perkara buruk yang terjadi adalah berpunca dari kelemahan diri sendiri.

Aku tidak ingin menyentuh kepercayaan bomoh dalam masyarakat lain selain masyarakat aku sendiri. 

Aku lahir sebagai Melayu dan semestinya Melayu itu Islam. Agama aku telah mengajar umatnya segalanya termasuk perkara berkaitan dengan bomoh. 

Walaupun mengetahui hukum meminta pertolongan bomoh itu berdosa besar, masih dilakukan juga.

Sesungguhnya banyak kesan buruk atau negatif yang terjadi akibat mempercayai bomoh yang menggunakan Jin atau Syaitan sebagai pengantara. 

Ada pasangan suami-isteri bercerai kerana fitnah yang dilemparkan oleh bomoh yang merawat, seolah-olah bomoh ini tahan atau lasak dari bahang api neraka.

Jika dahulu kita mengatakan masyarakat melayu masih jahil dalam soal agama tetapi apa alasan masa kini?, ulamak atau ahli agama sentiasa dilahirkan sama ada lulusan pondok atau Universiti di bumi barokah seperti Mesir, Syria atau Arab Saudi.

Bahkan, ada sahaja ahli politik yang  menggunakan khidmat bomoh untuk berjaya menjawat jawatan yang penting dalam kerajaan yang memerintah. 

Bukan itu sahaja, wujud segelintir umat Islam yang sanggup melakukan pemujaan demi mendapatkan nombor ekor.

Adakah kita akan melihat bomoh akan tiada dalam masyarakat Melayu?. Aku tiada jawapannya kerana sehingga sekarang masih wujud elemen yang berkaitan dengan pemujaan makhluk tersebut dikalangan Umat Islam yang pada aku, Islam hanya pada kad pengenalan bukan pada hati dan amal.



Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?