Bicara Masa dan Manusia


Hari ini mengikut Kalendar Masihi, kita telah melangkah 5 hari dalam bulan Januari tahun 2020.

Masa berputar semakin pantas sehingga tidak terasa perubahan yang berlaku di sekeliling kita selama ini, masih terasa seolah-olah baru semalam kita menyambut Tahun baru.

Tahun ini, alhamdulillah aku berusia 37 tahun, seharusnya pada peringkat usia ini, aku memiliki keluarga sendiri dengan kerjaya yang lebih baik namun hanya Allah SWT juga yang Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh aku pada saat ini. 

Bohong jika aku tidak cemburu melihat kehidupan orang lain terutama mereka yang sebaya dengan aku.

Aku ingin berkongsi pandangan tentang masa dalam kehidupan seharian kita semua. Adakah kita sedar atau tidak iaitu masa tidak pernah menunggu kita terutama untuk berubah.

Ia terus putar tanpa henti. Dari sesaat, seminit, sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya.

Bercakap soal masa, Islam telah membina acuan yang sempurna pada Umatnya, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian", ringkas tapi bermakna berkenaan dengan masa.

Hakikat ramai manusia terlalu leka tanpa menyedari bahawa masa yang tinggal semakin singkat.

Aku masih merasakan bahawa baru semalam, aku meninggalkan Putrajaya, tanpa menyedari betapa pantas masa berputar, kini memasuki tahun ke-5 aku berada di Kelantan. 

Masih tercari-cari haluan hidup walaupun masa yang ada semakin terbatas. Hakikat masa merupakan perkara yang sangat difikirkan oleh aku ketika ini. 

Persoalan yang sering bermain di fikiran aku ialah bagaimana masa depan aku nanti?.

Masa itu, sesuatu yang tercipta untuk menemani, menjadi saksi bagi setiap tindakan manusia di atas muka bumi ini, di Padang Masyar kelak. 

Setiap Umat Islam akan dihitung amalannya berdasarkan masa yang diperolehi ketika hidup di atas dunia ini.

"Demi masa, melainkan manusia yang beriman dan beramal soleh", adakah masih belum jelas tentang masa dan peranan atau fungsi kita di atas dunia ini?. 

Iman dan amalan Ibadah, hakikat tugas kita yang sebenarnya bukan?, pada waktu yang sama, manusia sering beranggapan bahawa mereka mempunyai masa yang lama untuk bersikap bertangguh.

Kita pernah dengar bila seseorang ditanyakan tentang berubah ke arah lebih baik seperti bertudung dan solat. Jawapan yang biasa diberikan ialah masa belum sampai atau belum dapat hidayah.

Hakikat hampir semua dari kita lupa pada masa kematian. Bersedia atau tidak bila sampai masanya maka kita akan dimatikan.

Kita lupa atau buat-buat lupa, bahawa tempoh kita di alam kubur lebih lama dari tempoh kita berada di atas dunia ini.

Aku suka melihat masa dikaitkan dengan frasa kehidupan manusia seperti waktu lahir sehingga 4 tahun, merupakan masa untuk belajar menjadi manusia, belajar berjalan, belajar bercakap dan belajar tentang isi dunia.

Kemudian dari 5 tahun sehingga belasan tahun, belajar tentang ilmu dunia & akhirat, semestinya tentang dunia lebih menjadi tumpuan kerana itu lumrah kehidupan akhir zaman. 

Setelah itu, belajar tentang hidup & mencintai dunia sehingga sampai waktu, semua isyarat kelihatan (mati).

Masa berputar manusia terus mengejar dunia yang tiada penghujungnya padahal, ilmuan atau agamawan sentiasa berpesan bahawa mengejar dunia pasti akhirat keciciran tetapi sekiranya mengejar akhirat nescara dunia mengejar kita.

Siapa mampu berkata bahawa akan hidup seratus tahun lagi?. Padahal untuk sesaat berikutnya, tidak siapa mengetahui bagaimana kesudahannya, masih bernyawa atau sebaliknya. 

Hakikat masa yang ada seharusnya pahala di petik bukannya dosa yang bercambah kerana tidak mampu membantu di akhirat nanti.

Aku sentiasa terfikir apabila mendengar Kuliah Agama, tentang jumlah penghuni Neraka lebih ramai dari penghuni Syurga. Mengapa?, mungkin disebabkan terlampau cinta dunia sehingga umur hampir angka 100 masih sibuk dengan dunia.

Sesungguhnya Allah SWT memberi kita semua, masa yang sama, hanya bagaimana kita menggunakan masa yang diberikan, bagaimana masa itu mampu membantu kita menjadi penghuni syurga atau neraka.

Aku berharap mempunyai masa yang cukup untuk berusaha menjadi penghuni Syurga, persoalannya adakah aku benar-benar berusaha mengejar pahala setiap saat yang berlalu?. Sesal itu yang sering dirasai oleh manusia sejagat.

Allah SWT Maha pengasih pada hambanya, masa yang terus berlalu semenjak turunnya Nabi Adam a.s sehingga Nabi Muhammad SAW. 

Pelbagai perkara berkaitan hakiki dan hakikat di pelajari, Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara, pada aku itulah pesanan buat manusia dan masa.


Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?