Kisah Kedai Ketereh


Bagi setiap dari kita, pasti mengharapkan melakukan sesuatu yang berbeza berlaku dalam hidup setiap hari, setiap waktu. Perkara yang ada suka dan ada yang tidak ialah bila berlaku sesuatu kejutan. Kali ini, aku ingin menulis tentang tempat tinggal aku dan family iaitu Kedai Ketereh.

Di bawah Parlimen Ketereh, wujud Kedai Ketereh, Kedai Kok Lanas, Kedai Melor dan Kedai Kadok. Kedai Ketereh dan Kok Lanas di letak bawah satu Dun iaitu Dun Kok Lanas, manakala selebihnya Dun Melor dan Dun Kadok.

Topik yang menarik perhatian ketika ini ialah Pengumuman Dividen ASB. Di bawah kerajaan baru, pemerhati cuba melihat adakah sama seperti sebelumnya, adakah lebih rendah atau lebih tinggi.

Di Kedai Ketereh ini, jika ingin menambah atau mengeluarkan pelaburan ASB, hanya ada 2 lokasi tumpuan iaitu pejabat Pos atau RHB Bank  kerana bank yang lain berada di Kedai Kok Lanas.

Pejabat Pos atau bank, kedua-duanya sentiasa dipenuhi pelanggan setiap kali Dividen diumumkan kerana ingin mengeluarkan  dividen yang diperolehi. 

Sejujurnya purata penduduk di Kedai Ketereh, mungkin 30% merupakan kelompok B40. Dividen yang diperolehi kebiasaan boleh menampung kos sara hidup yang semakin terasa walaupun tinggal di Kelantan.

Kepala tiba-tiba menjadi gatal dengan situasi di depan mata, baru teringat rambut aku agak panjang seminggu dua ini, tidak sanggup menunggu giliran di pejabat pos atau bank, aku menuju ke kedai gunting berhampiran.

Kali ini, situasi di kedai gunting rambut tiada lagi pelanggan kanak-kanak, sebaliknya warga emas. Semestinya banyak cerita di perkatakan apabila sambil tunggu giliran, kawan sekampung sampai. Aku hanya memasang telinga sambil bibir mengukir senyuman apabila ditegur.

Cuaca di luar agak tidak menentu, sekejap panas, sekejap redup. Kata orang tua-tua, keadaan ini biasa apabila menjelang tahun baru Cina.

Oleh kerana aku gunting rambut, dapur rumah hari ini cuti, melayan selesa nasi kedai walaupun menu agak bersantan dan tidak elok untuk ma dan aku sendiri.

Kebiasaan waktu ketika aku gunting rambut adalah waktu pihak penguasa Polis Trafik melakukan pemeriksaan rambang bagi penduduk setempat yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya iaitu salah satunya tidak memakai helmet.

Pekan kecil Ketereh ini, lama kelamaan aku tengok semakin sunyi walaupun taman perumahan baru yang dibina semakin banyak, bukankah itu menandakan bilangan penduduk pekan Ketereh bertambah?. Habis, ke mana mereka menghilang?.

Ketika ini, laluan Pekan kecil ini masih menjadi laluan utama ke Kota Bharu tetapi mungkin berkurangan apabila laluan lebuhraya rakyat dari Kota Bharu ke Kuala Krai siap sepenuhnya. Mungkin bakal menjadi seperti Pekan kecil Pulau Chondong.

Walau apapun situasi, aku harus puji orang Kelantan kerana hampir kesemuanya sangat pandai dalam bab berniaga walaupun dalam kampung yang terpencil pasti berniaga jika ada peluang.

Bahkan di Pekan kecil ini, beberapa orang yang bukan berasal dari sini, membuka perniagaan yang aku nampak berjaya. Bukan berniat Rasis tetapi hakikat yang harus ditelan iaitu kesemua kedai yang maju di Pekan Kecil ini dimiliki oleh Kaum Cina.

Tiada sebarang aktiviti menarik yang dilakukan oleh penghuni Pekan Kecil ini, warga belia mungkin sibuk bersukan namun aku pasti bukan semuanya, begitu juga warga emas menghabiskan masa di kedai kopi tetapi bukan kesemuanya.

Adakah Pekan Kecil tiada kudis berkulat dari dalam?, aku membesar di Pekan ini, setiap inci aku tahu, faham dan mengetahui bentuk kudis yang tumbuh dan berjangkit.

Namun, aku bukan YB atau Menteri, cukup sekadar hidup sehari lagi di Pekan Kecil ini tanpa diganggu atau mengganggu.


Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?