JALUR GEMILANGAN

Alhamdulillah, kini kemerdekaan negara ini berusia 63 tahun, sepanjang tempoh tersebut pelbagai transformasi dapat dilihat secara fizikal dan berperingkat bahkan jika boleh digambarkan bahawa keadaan negara ketika ini hampir sama seperti negara maju yang lain.

Namun ada sesuatu yang mendukacitakan apabila menyentuh isu berkaitan dengan Jalur Gemilang yang tercinta. 

Bendera secara umumnya merupakan perlambangan bagi sebuah bangsa atau negara, tetapi ada sesetengah pihak seperti tiada nilai.

Isu pemasangan Jalur Gemilang, pada aku secara peribadi merupakan isu yang sangat sensitif terutama apabila berlaku keadaan dipasang secara terbalik oleh segelintir pihak.

Aku rasa sangat kelakar, ketika usia kemerdekaan negara mencecah 63 tahun, masih wujud manusia yang tersalah pasang bendera atau Jalur Gemilang walaupun apapun alasan yang diberikan, sangat tidak masuk akal.

63 tahun bukan suatu tempoh singkat, manakala Jalur Gemilang tidak pernah berubah sejak kali pertama di perkenalkan, maka alasan tidak sengaja atau apa sahaja alasan yang diberikan atas kesalahan memasang Jalur Gemilang secara terbalik tidak dapat diterima.

Aku melihat kesalahan yang dilakukan ini, bukan sekali dua sahaja terjadi, sering terjadi bahkan mengaku bahawa diri adalah Rakyat Malaysia tetapi Maruah Bangsa dan Negara boleh dilakukan sedemikian rupa.

Oleh itu, aku menyokong tindakan tegas yang diambil oleh pihak PDRM terhadap individu atau pihak tertentu yang melakukan kesalahan memasang Jalur Gemilang secara terbalik. Tempoh 63 tahun usia kemerdekaan sudah cukup menafikan segala alasan mengapa kesalahan tersebut masih berulang.

Sekiranya tiada hormat atau sayang pada bendera negara ini, maka bolehlah berkira-kira untuk berpindah ke negara lain yang lebih sesuai dijiwa kerana negara ini hanya memerlukan rakyat yang sanggup berkorban apa sahaja dengan bangsa Malaysia dan negara.

Ketika tempoh untuk perayaan Kemerdekaan tinggal 4 hari lagi, aku lihat suasana sekarang jauh berbeza dari ketika aku berusia kanak-kanak. Semangat mengibarkan Jalur Gemilang semakin suram, boleh dikatakan dalam 10 buah rumah hanya satu rumah sahaja yang mengibarkan Jalur Gemilang.

Maka tidak hairan sekiranya kita bertanya pada anak-anak milenium tentang tarikh Kemerdekaan, pasti ada yang tidak mengetahui apa lagi Tarikh Hari Malaysia.

Bagaimana Maruah Negara ingin dipertahankan sekiranya roh kecintaan kepada Negara semakin hilang akibat tidak disemai dari kecil lagi. Bahkan secara peribadi, aku merasakan Lagu Negaraku semakin kurang diperdengarkan atau dinyanyikan oleh generasi baru.

Adakah akan wujud anak kecil yang sanggup memanjat tiang bendera yang tinggi demi membetulkan tali bendera yang tersangkut agar Bendera terus berkibar ke tingkat lebih tinggi?. 

Jom kita sama-sama pada diri sendiri, apakah nilai Bendera Jalur Gemilang pada diri kita secara peribadi. Jika nilai sangat rendah, itu bererti ada sesuatu yang tidak kena dengan hati nurani kita. Maka harus diperbetulkan sebelum terlambat.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?