ANAK DIBANDINGKAN


Semua orang mengetahui bahawa tanggungjawab setiap ibubapa sangat besar dalam memastikan anak-anak mereka berjaya dalam apa jua perkara yang berkaitan terutama dalam soal pelajaran. Ibubapa mana yang ingin melihat anak-anak gagal dalam kehidupan.

Namun ada waktunya, ibubapa sering bersikap negatif dengan suka membandingkan anak-anak mereka dengan orang lain, hakikat sebenarnya sikap sebegitu bukan membantu anak-anak terus maju kehadapan tetapi berkemungkinan besar mendorong anak-anak mengalami kemurungan kerana sentiasa menjadi perbandingan sekiranya gagal dalam sesuatu perkara.

Bagaimana ia berlaku?, apabila berlaku situasi yang  tidak seperti yang diharapkan sebagai contoh ibubapa mengharapkan anak-anak berjaya mendapatkan 10A dalam peperiksaan tetapi hanya mendapatkan 10B, ibubapa dalam sedar membandingkan keputusan tersebut dengan orang lain.

Akhirnya anak-anak terjerumus dalam situasi kemurungan tanpa sedar, mengapa?, setiap anak pasti akan berusaha mencapai apa yang dihajati oleh ibubapa mereka, cuma bukan semua anak berjaya di pengakhirannya, tapi ibubapa seringkali tidak melihat usaha anak-anak mereka dan ia memberi kesan kepada anak-anak.

Disebabkan itu, Islam melarang ibubapa mengamalkan sikap membandingkan anak-anak mereka, atau terlampau membanggakan anak-anak sehingga menyebabkan saudara atau mereka yang berada disekeliling terasa berkecil hati. Bukan maksud aku, salah merasa bangga cuma jangan sehingga mendabik dada, mencanang seluruh dunia padahal ada saja orang lebih baik dari anak kita. Jangan terlampau menekan walaupun anak telah pun berusaha kerana memang itu takdirnya, kecuali memang jenis pemalas dari awal lagi.

Ibubapa atau sesiapa sahaja harus sedar, definisi kejayaan dalam hidup itu terlalu besar skopnya. Memiliki segulung ijazah belum tentu bergelar seorang anak soleh, gagal dalam pelajaran bukan bererti bakal gagal segalanya, Allah SWT telah mengaturkan segalanya untuk setiap dari hambanya di muka bumi ini.

Aku seorang yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda, namun sehingga sekarang masih bergelar penganggur, manakala kenalan aku seorang gagal melanjutkan pelajaran, kini cemerlang sebagai seorang kakitangan kerajaan.

Oleh itu, setiap ibubapa harus hentikan sikap membandingkan anak-anak dengan orang lain kerana kesan jangka panjang amat tidak baik untuk keluarga kita sendiri. Ibubapa mungkin lupa bahawa kejayaan atau kegagalan anak-anak dalam hidup, ia sangat berkaitan dengan cara ibubapa mendidik dan menegur dari kecil sehingga dewasa.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?