KITA MEMBUAT PILIHAN

SEGALANYA TELAH TERLEWAT


Dalam hidup yang singkat ini, setiap apa yang terjadi merupakan pilihan yang kita sendiri pilih, adakah ia pilihan terbaik atau sebaliknya, segalanya terpulang kepada penilaian diri kita sendiri. Orang lain tidak dapat memaksa sekiranya pilihan telah dibuat sepenuh hati.

Aku percaya setiap orang ingin hidup senang atau mewah, mampu memiliki segala yang dihajati. Namun bukan semua mampu mencapai keinginan tersebut sekiranya usaha yang dibuat tidak seberapa. Itu merupakan pilihan yang tersedia buat kita memilih yang mana satu.

Paling mendukacitakan sekiranya ada dikalangan kita kenali memilih pilihan yang salah atas nama ingin kesenangan atau kemewahan dengan jalan singkat. Di Malaysia, ada banyak pilihan untuk mendapatkan keinginan dengan cara singkat, antara pilihan yang tersedia ialah terlibat dalam urusan jual-beli benda yang terlarang.

Aku bukan ingin mengaibkan sesiapa, cuma berkongsi rasa sedih apabila ia terjadi, bukan saudara, bukan sahabat, cuma kenalan yang rapat, telah tersalah membuat pilihan sehingga tertangkap dan kesudahan yang belum pasti namun pilihan perit yang menanti di antaranya adalah MATI.

DADAH merupakan benda yang terlarang namun sering menjadi pilihan untuk berdagang. Pihak kerajaan bukan duduk diam, setiap hari ada sahaja laporan namun masih ada yang berani melakukan kerana kemewahan meragut iman di jiwa walaupun pada seorang berkopiah di kepala.

Apa yang terlintas di minda dan jiwa?, apabila mendengar khabar kenalan yang dikenali elok perangainya tertangkap kerana pilihan dunia yang dilakukannya. Bukan sedikit, bukan sekadar, terus dibawa ke Seksyen 39B pula. Gantung sampai mati jika di sabitkan kesalahan.

Jangan ditimbulkan siapa punya, siapa bersalah kerana telah lama ia ditetapkan siapa memiliki atau berada di lokasi, maka ia akan dibicarakan jua. Hanya sediakan wang dan peguam, agar dapat mengemukakan rayuan kerana ketika ini baru timbul rasa menyesal kerana pilihan di buat bukan berdasarkan akal dan iman di dada.

Begitulah situasi yang sering terjadi apabila diri kecundang pasti kerana pilihan dibuat sendiri tanpa memikirkan anak dan isteri. Jangan dituju jari yang bersalah kelak segalanya bagaikan pasti kesudahan. Cuma aku berharap, biarlah apa yang terjadi menjadi iktibar buat semuanya kerana pilihan itu ada di tangan kita, maka hasil yang dirasa itu hasil yang kita sendiri cipta.


Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?