Tanggapan Masyarakat

 

Pandemik COVid19 akan menjadi salah satu topik perbincangan masyarakat dunia pada tempoh yang lama, walaupun beberapa buah negara telah berjaya mengeluarkan vaksin pencegahan pandemik tersebut. Kesan pandemik tersebut, sangat mendalam dan membebankan bukan hanya orang-ramai tetapi turut mengheret negara.

Selain itu, ada perkara lain yang perlu diberi perhatian oleh kita semua, ia berkaitan dengan tanggapan masyarakat terhadap pandemik terbabit selepas ini terutama dari segi mereka yang pernah dijangkiti atau mereka yang tinggal di kawasan berstatus ZON MERAH.

Dari bacaan atau rakaman yang dikongsikan termasuk pengalaman individu tertentu, aku dapat memberi kesimpulan ringkas iaitu tanggapan segelintir masyarakat terhadap pengidap, bekas atau mereka yang tinggal di kawasan ZON MERAH  adalah sangat negatif.

Seharusnya kita sedar dan peka bahawa tiada siapa mahukan diri dijangkiti oleh penyakit yang mampu membawa maut ini. Seorang bekas pesakit, dikatakan sedang berurusan di kaunter, tiba-tiba sahaja mendapat layanan yang tidak sepatutnya apabila diketahui bahawa beliau merupakan bekas pesakit.

Pengkongsian di media sosial, seorang pesakit kemurungan apabila dihalau oleh rakan serumah setelah mengetahui dirinya telah dijangkiti. Layanan yang diberikan oleh rakan serumah, seolah-olah dirinya sangat hina kerana terkena jangkitan tersebut.

Manakala bagi penduduk di kawasan ZON MERAH yang ingin rentas negeri pula, diperlakukan seolah-olah mereka merupakan punca terjadi penularan penyakit terbabit. Ia bukan hanya melibatkan orang luar tetapi sering terjadi dalam kalangan ahli keluarga sendiri.

Tidak salah berjaga-jaga, namun jangan sampai menguris rasa sehingga ada hati yang terluka, walaupun bukan saudara atau kenalan, namun kita hidup dalam sebuah masyarakat yang saling bergantung antara satu sama lain.

Pandemik ini tidak diketahui bilakah akan berakhir, namun itu bukan alasan untuk kita terus bertindak prejudis di atas apa yang terjadi atau bakal terjadi dalam kehidupan seharian kita. Pada aku, jika Allah SWT nak menguji kita, jagalah sebaik mana pun pasti terkena juga.

Segalanya yang terjadi pasti ada hikmahnya yang tersembunyi.


Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?