Sesi Persekolahan Tamat

 Aku kira para pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 merupakan pelajar yang istimewa kerana tempoh persediaan yang diberikan buat mereka sangat panjang berbanding para pelajar tahun sebelumnya. Hal ini terjadi semestinya disebabkan Pandemik yang melanda dunia.

Tahun 2021, ketika para pelajar lain menduduki sesi persekolahan melalui pembelajaran dari rumah atau PdPR. Para calon peperiksaan SPM diberi keistimewaan mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka dengan para guru di sekolah.

Kini, para calon peperiksaan SPM tahun 2020 akan menamatkan sesi pembelajaran mereka pada 9 Februari 2021 kerana ingin memberi masa buat para pelajar mengulangkaji pelajaran serta membuat persediaan kerana peperiksaan SPM bagi mereka, dijangkakan akan diadakan pada hujung bulan Februari.

Sepanjang pengetahun aku, tahun 2021 merupakan tahun dalam sejarah kerana peperiksaan SPM bakal dijalankan sebanyak 2 kali. Kali pertama diadakan bagi calon peperiksaan tahun 2020 manakala peperiksaan kali ke dua pula buat calon peperiksaan tahun 2021.

Sekiranya semua berjalan mengikut jadual, lepasan SPM tahun 2020 akan melanjutkan pelajaran pada bulan Jun atau Julai. Aku percaya para guru yang bertindak sebagai pemeriksa kertas peperiksaan SPM mungking mempunyai tanggungjawab yang agak berat kerana harus menyelesaikan tempoh semakan kertas jawapan para calon SPM tahun 2020 dalam tempoh yang singkat.

Secara logiknya aku mengharapkan keputusan SPM yang bakal diumumkan kelak, bakal menyaksikan peningkatan kadar kelulusan dan bilangan pelajar yang lulus dengan cemerlang yang ramai. Hal ini berdasarkan tempoh masa persediaan para pelajar. Diharapkan mereka mempergunakan masa yang panjang pada kali ini dengan sebaiknya kerana di masa hadapan mungkin tidak terjadi situasi seperti yang dihadapi ketika ini.

Aku turut mempunyai ahli keluarga yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada hujung bulan ini, walaupun tidak mengetahui bagaimana persediaannya, aku berharap segalanya dalam keadaan baik-baik belaka.

Cuma jika aku meletak diri sendiri dalam kondisi calon peperiksaan SPM tahun 2020, semestinya banyak cabaran yang perlu ditempuhi, terutama mengharungi pembelajaran secara sendiri. Ketika ini, hanya semangat dan usaha menjadi x-faktor bagi mengundang kecemerlangan atau sebaliknya.

Mungkin di masa hadapan, boleh di ceritakan pada anak cucu tentang bagaimana ayah/ibu/atuk/nenek mengambil peperiksaan pada tahun yang penuh cabaran, bukan hanya pada negara tetapi seluruh dunia kerana pandemik yang melanda. Sejarah pasti mencatatkan kisah para calon peperiksaan SPM bagi tahun 2020 buat panduan atau pengetahuan generasi di masa hadapan.

Buat calon peperiksaan SPM tahun 2020 yang bakal menduduki peperiksaan tersebut pada akhir bulan ini. Semoga dipermudahkan segala urusan terutama sebelum, semasa dan selepas peperiksaan SPM berjalan kelak. Anda bakal memasuki fasa baru sebuah kehidupan selepas ini.




Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman menjadi Guru

AKU PELAJAR PENGAJIAN MEDIA,

BAGAIMANA MENJADI TELEMARKETING?